suria

Polis periksa rumah disyaki dihuni ahli GISBH, jiran akhirnya buka cerita

Pemeriksaan polis ke atas sebuah rumah disyaki didiami ahli GISBH.

BUKIT Aman menjalankan pemeriksaan di lima rumah teres dua tingkat, yang dipercayai didiami ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor pada awal pagi Sabtu.

Rumah berkenaan terletak di dalam kawasan kejiranan berpagar.

Lebih 50 anggota polis termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlibat dalam operasi Ops Global, bermula pukul 5.30 pagi.

Pemeriksaan mendapati kesemua rumah terbabit sudah dikosongkan.

Penghuninya dipercayai mengosongkan rumah berkenaan sebelum polis tiba untuk melakukan pemeriksaan.

Salah satu kediaman tersebut dipercayai merupakan rumah jagaan kanak-kanak, memandangkan terdapat beg pakaian dan basikal kanak-kanak diparkir pada anjung rumah.

Reban burung puyuh yang ditemukan ketika pemeriksaan.

Rumah sama juga mempunyai lebih 10 ekor burung puyuh yang dikurung di dalam reban serta bahagian belakang rumah diubah suai menjadi tempat mandi.

Seorang jiran berkata, dia selalu melihat kanak-kanak yang menetap di dalam salah satu rumah tersebut bermain di taman permainan berhampiran.

"Sebelum ini mereka sering berkumpul di padang permainan atau pekarangan rumah berkenaan.

"Namun mereka hilang tanpa jejak sejak Khamis lalu.

"Kami juga melihat beberapa kenderaan diparkir di hadapan rumah berkenaan, dipercayai membawa mereka (penghuni) meninggalkan kawasan kediaman ini," katanya yang enggan dikenali.

Selain pemeriksaan yang dikendalikan oleh Bukit Aman, serbuan juga dilakukan oleh pegawai dan anggota polis negeri pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes GISBH: Anak bekas pemimpin Al-Arqam antara 7 ditahan

Terdahulu pada Khamis, 19 individu termasuk ketua pegawai eksekutif GISBH, isterinya dan beberapa ahli keluarga yang lain ditahan untuk membantu siasatan.

Mereka ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada pukul 5.40 pagi ketika serbuan ke atas empat kediaman di Jalan Imbi.

Kesemua 12 lelaki dan tujuh wanita kekal direman sehingga Rabu depan (25 September).

Pada Rabu lalu, polis turut merakam kenyataan 740 individu sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas GISB.

Sebanyak 10 kertas siasatan dibuka dan polis sudah membekukan 96 akaun bank di bawah organisasi GISB melibatkan dana berjumlah RM581,552

Manakala pada 11 September, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak, 201 lelaki dan 201 perempuan, berumur antara 1 hinggan 17 tahun daripada 20 rumah jagaan kanak-kanak di Selangor dan Negeri Sembilan dalam operasi Ops Global.

Timbul dakwaan kanak-kanak tersebut didera, dieksploitasi dan diserang secara seksual.

Berikutan daripada itu, seramai 171 suspek bermur antara 17 hingga 64 tahun ditahan termasuk guru dan penjaga asrama. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain