suria

Kontraktor umur 51 tahun dituduh bunuh bekas pelumba Cub Prix negara Elly Idzlianizar Ilias

Mahkamah menetapkan kes akan disebut semula pada 30 Disember hadapan.

SEORANG lelaki berusia 51 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kangar, Perlis atas dakwaan membunuh bekas pelumba motosikal GP negara, Elly Idzlianizar Ilias.

Tertuduh, Ibrahim Johan, yang juga seorang kontraktor hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor pada Isnin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, Ibrahim didawa membunuh bekas pelumba berusia 40 tahun itu antara pukul 10.30 malam hingga 12.01 pagi, antara 10 dan 11 September lalu di simpang tiga, Taman Behor Gonchar Jaya, Kangar.

Ibrahim dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan tidak kurang 12 kali sebatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis tahan tiga individu, rampas pedang samurai... Suspek dipercayai terlibat kes bunuh bekas pelumba GP Malaysia

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perlis, Nabilah Ahmad Po'ad.

Tertuduh pula diwakili peguam Tan Yeng Sing.

Mahkamah menetapkan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan kes akan disebut semula pada 30 Disember hadapan.

Untuk rekod, mStar pada 12 September melaporkan polis menahan tiga individu dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan bekas pelumba negara.

Elly Idzlianizar mencipta namanya dalam kancah perlumbaan Cub Prix tempatan dan turut terpilih menyertai program pelumba wildcard kebangsaan untuk Grand Prix Malaysia pada 2009.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain