suria

Restoran milik GISB beroperasi seperti biasa di UK

GISB terus menjadi buah mulut dan perdebatan warganet. -Gambar hiasan

BERBEZA dengan situasi terkini di Malaysia, restoran-restoran milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) dilihat masih beroperasi seperti biasa di United Kingdom.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Datuk Zakri Jaafar berkata beberapa restoran milik konglomerat Malaysia yang bermasalah itu masih dibuka untuk perniagaan.

Namun katanya, dia tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai jumlah sebenar perniagaan milik kumpulan itu di sana.

“Ya, (kami sedar) tetapi kami tidak memantau mereka... nampaknya mereka menjalankan perniagaan yang sah di sini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

GISB memiliki restoran di London, Paris, Istanbul, Dubai dan Mekah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli kumpulan GISB Holdings mengaku tidak bersalah ugut wanita

Tambah Zakri, restoran GISB di sana bersaiz biasa seperti kebanyakan restoran lain di London.

Malah, dia sendiri pernah berkunjung ke salah sebuah restoran mereka di Manchester.

Sejak dua minggu lalu, puluhan perniagaan GISB di seluruh Malaysia diserbu atau ditutup selepas timbulnya dakwaan mengenai penderaan seksual dan eksploitasi kanak-kanak di rumah kebajikan mereka.

Pada 11 September, polis melancarkan Ops Global, menyaksikan serbuan ke atas 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISB.

GISB juga pernah dikenali sebagai cabang perniagaan al-Arqam iaitu sebuah ajaran sesat yang diharamkan pada tahun 1994.

Pada 17 September, polis berkata mereka sedang menyiasat GISB sebagai sindiket jenayah terancang dan rumah kebajikan kanak-kanaknya tidak berlesen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain