suria

GISBH: Polis siasat kes Mufti Perlis terima ugutan

Mohd Asri menerima mesej ugutan berkaitan GISBH menerusi aplikasi WhatsApp pagi Sabtu lalu.

BUKIT Aman sedang menyiasat ugutan yang dibuat terhadap Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan Asri menerima mesej ugutan menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali sekitar jam 8.56 pagi Sabtu lalu.

Menurutnya, Asri mendakwa terdapat empat pesanan mesej dihantar berkaitan Global Ikhwan and Services Berhad Holdings (GISBH)

"Dia (Asri) mendakwa menerima empat mesej yang dikaitkan dengan GISBH.

"Mesej itu mendakwa perniagaan syarikat berkenaan tidak dapat ditandingi dalam negara," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Perlis isytihar GISBH ajaran sesat... Wujud kesinambungan ajaran al-Arqam

Ujarnya, Asri bagaimanapun tidak mengendahkan mesej itu menyebabkan individu terbabit menghantar mesej berbaur provokasi dan ugutan.

"Beliau (Maza) percaya pesanan WhatApps menunjukkan satu ugutan jenayah kerana maksud kafir harbi (kafir yang boleh diperang) adalah menghalalkan darah.

"Susulan itu, Mufti Perlis tampil membuat laporan di Balai Polis Kangar kelmarin untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Tambah Razarudin, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

Untuk rekod, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada Jumaat lalu memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISBH mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mohd Asri berkata fatwa itu dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain