suria

Tak sempat ziarah pusara ayah, dua beradik maut motosikal rempuh tong sampah roro tepi jalan

Motosikal terlibat kemalangan yang ditunggang dua mangsa.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun dan abangnya maut apabila motosikal yang ditunggang mereka merempuh tong sampah roro di bahu kiri jalan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata mangsa, Nur Afiqah Sofea Hazlin dan Muhammad Amirul Hazlin, 18, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah ketika dirawat di Hospital Melaka.

Menurutnya, motosikal yang ditunggang Muhammad Amirul Hazlin melanggar tong sampah terbabit pada Isnin kira-kira pukul 6.15 petang.

Dua beradik itu meninggal dunia antara Isnin petang dan awal pagi Selasa di hospital.

"Kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan untuk menziarahi kubur ayah mereka di Tanah Perkuburan Islam Bertam Hulu, Melaka.

"Mereka kemudiannya merancang untuk makan malam bersama keluarga," kata Christopher Patit pada Selasa.

Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada Muhammad Amirul Hazlin tidak perasan tentang kewujudan tong roro tersebut berada di bahu jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihak polis sedang cuba menjejaki pemilik kontena roro berkenaan serta memanggil saksi di tempat kejadian untuk membantu siasatan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain