suria

Pemandu tertimbus, tersepit selepas lori tangki simen terbabas dalam gaung... Operasi keluarkan mayat ambil masa 10 jam

Operasi mengeluarkan mayat pemandu lori tangki simen di jalan Batu 18, Jalan Sandakan–Lahad Datu.

SEPASUKAN anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 jam untuk mengeluarkan mangsa kemalangan yang terperangkap di bawah lori tangki simen yang dipandunya, selepas kenderaan itu terbabas ke dalam gaung di Batu 18, Jalan Sandakan–Lahad Datu, pada Isnin.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.42 pagi mengenai kemalangan berkenaan.

Sepasukan 10 anggota bomba tiba di tempat kejadian yang terletak kira-kira 29 kilometer dari balai, dengan empat jentera pada pukul 3.35 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Beberapa jam ‘ghaib’, cebisan tulang rungkai kehilangan operator... Rupanya terjatuh dalam mesin proses tandan sawit

"Siasatan awal mendapati lori tangki simen yang dipandu mangsa terbabas dari jalan dan terjatuh ke dalam gaung. Pemandu itu tersepit dan tertimbus dalam tanah.

"Operasi mengambil masa yang panjang kerana kami terpaksa menarik lori tangki sebelum mengeluarkan mangsa," kata Sumsoa.

Mangsa yang dikenali sebagai Abd Halim Bolong, 72, hanya berjaya dikeluarkan sekitar tengah hari Isnin berikutan kesukaran menarik lori tangki simen keluar dari gaung sedalam 10 meter.

Bagaimanapun, warga emas tersebut disahkan meninggal dunia selepas berjaya dikeluarkan.

Mayat mangsa dihantar ke hospital dan kes telah diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Operasi tamat pada pukul 12.30 tengahari. -The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain