SEORANG wanita yang kehilangan suaminya 10 bulan lalu kini sekali lagi diuji dengan pemergian dua anak apabila mereka terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan melawat pusara arwah bapa pada petang Isnin. "Saya tak kuat, baru 10 bulan abah mereka pergi, sekarang saya kehilangan pula dua anak," kata ibu tunggal, Norizan Ujak memetik laporan Sinar Harian. Anak Norizan iaitu Nur Afiqah Sofea Hazlin, 5, dan Muhammad Amirul Hazlin, 18, maut apabila motosikal ditunggang mereka merempuh tong sampah roro di bahu kiri jalan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Melaka. Dalam kejadian pada pukul 6.15 petang itu, anak bongsu dan anak sulung Norizan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah ketika dirawat di Hospital Melaka. ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat ziarah pusara ayah, dua beradik maut motosikal rempuh tong sampah roro tepi jalan Norizan yang menjadi saksi nahas membabitkan dua anaknya hanya mampu menjerit, Ya Allah anak aku, apabila melihat motosikal yang ditunggang Muhammad Amirul merempuh tong sampah roro, menyebabkan mereka terpelanting. Ketika kejadian, wanita yang berusia 40 tahun itu mengekori dua orang anaknya dari belakang dengan menunggang motosikal lain. "Kami dalam perjalanan ke Tanah Perkuburan Islam Bertam Ulu untuk menziarahi kubur arwah suami yang meninggal dunia akibat komplikasi sakit termasuk kencing manis. Tong sampah roro berwarna biru yang menjadi punca kemalangan. "Kami rancang selepas ziarah nak makan bersama, namun tak sangka berakhir dengan tragedi," katanya ketika ditemui pemberita di hospital pada Isnin malam. Norizan hanya mampu menyaksikan tragedi itu di depan mata apabila anak-anaknya melanggar tong sampah roro yang diletakkan di bahagian lorong kecemasan. Menurut Norizan, anak-anaknya tidak dapat mengelak tong sampah roro itu memandangkan terdapat sebuah lori di sebelah kanan mereka. "Tiada langsung diletakkan kon keselamatan berdekatan tong sampah roro itu untuk memberitahu pengguna jalan raya lebih awal mengenai keberadaannya. "Malah ketika kejadian tak ada seorang pun pekerja kontraktor yang mengawal lalu lintas bagi memastikan keselamatan kawasan sekitar," dakwa Norizan dengan rasa kesal. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube