suria

12 perompak bersenjata parang pecah masuk banglo... 3 penghuni diikat rugi RM600 ribu, seorang cedera ditetak

Tangkap layar kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian samun.

SEORANG lelaki cedera ditetak dalam kejadian membabitkan sekumpulan 12 individu bersenjatakan parang menyamun sebuah kediaman di Pandamaran, Klang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian berlaku kira-kira 5 pagi di sebuah banglo tiga tingkat di mana kumpulan itu menaiki dua kereta.

"Semua suspek memakai pelitup muka, bersarung tangan dan bersenjatakan parang telah memanjat tembok pagar rumah.

"Suspek-suspek masuk ke dalam semua bilik dan menggeledah barangan dalam rumah serta mengikat tiga penghuni," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek berjaya melarikan wang tunai, patung sembahyang dan barang kemas bernilai RM600,000.

Bagaimanapun katanya, salah seorang mangsa iaitu lelaki berusia 37 tahun ditetak di bahu kiri dan menerima empat jahitan di Hospital Pantai, Klang.

Tambah beliau, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Polis sedang mempergiat usaha untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta salurkan kepada balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki bersenjatakan parang memanjat tembok rumah sebelum menyamun mangsa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain