suria

Penutup simen terbuka, tertutup berulang kali di Jalan Masjid India cetus tanda tanya

Tangkap layar video yang tular di kawasan Jalan Masjid India. Foto TikTok

KECOH di media sosial mengenai video yang menunjukkan penutup simen di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, terangkat berulang kali.

Keadaan itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warga maya berikutan ia berlaku berdekatan dengan lokasi insiden tanah jerlus yang mengakibatkan seorang pelancong warga India terjatuh ke dalam lubang, pada 23 Ogos lalu.

Rakaman berdurasi kira-kira 20 saat yang tular di media sosial itu turut memaparkan gerai jualan di kawasan tersebut dan beberapa orang awam lalu di situ ketika hujan pada waktu malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanda tanya terjawab, rupanya ini punca penutup simen terangkat di Jalan Masjid India

Perkongsian video tersebut turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila berjalan di kawasan sekitar Jalan Masjid India.

Difahamkan, keadaan penutup simen yang berulang kali terbuka dan tertutup itu dipercayai akibat tekanan bawah tanah yang terlalu tinggi.

Bagaimanapun setakat ini, belum ada penjelasan atau kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung rakaman video yang tular.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India hilang selepas terjatuh dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dihentikan pada 31 Ogos lalu selepas tiada sebarang petunjuk berhubung kehilangan mangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan itu diambil selepas kerajaan mengambil kira isu keselamatan membabitkan pasukan SAR, orang ramai dan kawasan sekitar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain