suria

Tanda tanya terjawab, rupanya ini punca penutup simen terangkat di Jalan Masjid India

Penutup lurang (manhole) kini dipasang di lokasi kejadian. Foto DBKL

TANDA tanya mengenai penutup simen di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, yang terangkat berulang kali akhirnya terjawab apabila penutup lurang (manhole) yang hilang menjadi punca kejadian itu.

Perkara itu disahkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan pada Sabtu.

DBKL memaklumkan bahawa kehilangan penutup 'manhole' itu dipercayai berpunca daripada perbuatan vandalisme.

"DBKL merujuk kepada video tiktok yang tular mengenai kejadian penutup simen terangkat di Jalan Masjid India. Dimaklumkan penutup lurang (manhole) telah hilang berkemungkinan disebabkan vandalisme dan menyebabkan penutup simen (bahagian atas) terangkat," menurut kenyataan itu.

Isu tersebut diselesaikan pihak Indah Water Konsortium (IWK) yang memasang penutup 'manhole'. Foto DBKL

Tambah DBKL, pihak Indah Water Konsortium (IWK) sudah menyelesaikan pemasangan penutup 'manhole' tersebut pada awal pagi Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penutup simen terbuka, tertutup berulang kali di Jalan Masjid India cetus tanda tanya

"DBKL menggesa orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menyiarkan kandungan yang boleh mencetuskan situasi panik dan kegelisahan orang awam dengan mengambil kesempatan atas insiden yang berlaku di Masjid India baru-baru ini," jelas DBKL lagi.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai video yang menunjukkan penutup simen di Jalan Masjid India terangkat berulang kali sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warga maya.

Tangkap layar video yang tular mengenai penutup simen. Foto TikTok

Ia dikatakan berlaku berdekatan dengan lokasi insiden tanah jerlus yang mengakibatkan seorang pelancong warga India terjatuh ke dalam lubang, pada 23 Ogos lalu.

Keadaan itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan warga maya dan perkongsian video tersebut turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila berjalan di kawasan sekitar Jalan Masjid India.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain