suria

Pesara guru maut ditikam anak alami halusinasi, suspek melarikan diri sebelum ditemukan meninggal dunia

Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Gambar hiasan

SEORANG warga emas meninggal dunia selepas ditikam anak kandungnya yang merupakan pesakit mental, dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Senaling, Kuala Pilah, petang Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ali, kejadian berkenaan dikatakan berlaku ketika mangsa cuba memujuk suspek yang cuba membunuh diri.

Ujarnya, polis menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 4.40 petang daripada orang awam.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa berusia 65 tahun dan merupakan pesara guru.

"Ketika kejadian, turut sama berada di dalam rumah adalah isteri mangsa dan juga suspek berusia 32 tahun yang juga seorang pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.

"Hasil pemeriksaan pada badan si mati dapati terdapat satu kesan tikaman pada bahagian belakang badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Berang asyik kena marah, pemuda tikam ibu hingga maut

Beliau berkata, selepas menikam mangsa, suspek bertindak melarikan diri dengan menggunakan kereta.

"Suspek ditemui di tepi jalan Pekan Senaling dalam keadaan terbaring dengan mulut berbuih.

"Hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati suspek meninggal dunia dipercayai akibat minum bahan peluntur.

"Senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu turut ditemui di lokasi kejadian," ujarnya sambil menambah, motif kejadian dipercayai suspek mengalami halusinasi dan cuba membunuh diri.

Mayat dua beranak berkenaan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk tujuan bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain