suria

Sultan Selangor titah wujudkan jawatankuasa pemulihan kanak-kanak GISBH... Perlu tindakan segera, jangan berlengah

Sultan Selangor titah wujudkan jawatankuasa bagi pemulihan kanak-kanak GISBH.

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar satu jawatankuasa diwujudkan segera berhubung pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan daripada Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Akaun Facebook Selangor Royal Office pada Rabu memaklumkan jawatankuasa itu berfungsi untuk menghasilkan kertas kerja terperinci bagi mengenal pasti kaedah terbaik memulihkan kanak-kanak yang terlibat.

"Baginda berkenan menitahkan agar satu jawatankuasa dibentuk bagi menghasilkan kertas kerja terperinci untuk mengenal pasti kaedah terbaik memulihkan kanak-kanak GISBH yang berjumlah lebih 600 orang.

"Baginda mahu perkara ini dikendalikan dengan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana membabitkan masa depan kanak-kanak yang terlibat.

ARTIKEL BERKAITAN: GISBH: Hampir 600 kanak-kanak diselamatkan, 80 kertas siasatan dibuka

"Jawatankuasa ini kelak akan melapor terus kepada Tuanku Sultan serta bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak ini, seterusnya diintegrasikan semula ke dalam masyarakat dalam tempoh yang ditetapkan," ujar kenyataan itu.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Datuk Salehuddin Saidin, di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Sebelum ini, media melaporkan hampir 600 kanak-kanak diselamatkan dari rumah jagaan yang dikendalikan oleh GISBH, dengan 80 kertas siasatan dibuka terhadap organisasi itu

Siasatan terhadap GISBH dibuat berdasarkan beberapa akta, termasuk Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Kanun Keseksaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain