suria

Bajet 2025: Berita baik! Penjawat awam terima bonus RM500, pesara RM250

Penjawat awam akan menerima bonus sebanyak RM500. -Gambar hiasan

BERITA yang pastinya menggembirakan penjawat awam apabila kerajaan mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan kewangan itu diberikan kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

"Bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.

"Bantuan khas ini turut diberikan kepada pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen sebanyak RM250," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen, pada Jumaat.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, bantuan khas kewangan itu akan disalurkan pada Februari 2025.

Dalam pembentangan itu, beliau turut memaklumkan bahawa Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dilaksanakan secara berfasa berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024 dengan pendapatan minimum berjumlah RM2,115 sebulan.

"Ini adalah tambahan kepada gaji yang lalu.

"Bulan Disember (2024) ada kenaikan, Januari ada kenaikan dan Februari ada bonus," katanya.

Pada Mei lalu, Anwar memaklumkan bahawa penjawat awam menerima kenaikan gaji sebanyak 15 peratus buat pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional.

Bagi pegawai kumpulan pengurusan tertinggi pula menerima kenaikan gaji sebanyak tujuh peratus.

Menurut Anwar, kenaikan gaji itu akan diberikan kepada penjawat awam dalam dua fasa, bermula 1 Disember 2024 bagi fasa satu, manakala fasa dua pada 1 Januari 2026.

Belanjawan 2025 bertemakan 'Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera', merupakan belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain