SUSULAN tular di media sosial mengenai kisah seorang pemandu wanita yang mengganggu ketenteraman penduduk Saujana Utama, Sungai Buloh, seorang wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di kawasan berkenaan tampil menjelaskan situasi sebenar. Menerusi satu kenyataan, wakil berkenaan memaklumkan satu pertemuan sudah diadakan di antara Majlis Perwakilan Penduduk Saujana Utama (MPPSU) dengan suami kepada pemandu wanita berkenaan yang dikenali sebagai Rosdi. "Isu ini lebih kepada keadaan yang berada di luar kawalan manusia, mungkin melibatkan gangguan makhluk lain. "Encik Rosdi telah mencuba pelbagai cara perubatan, namun belum menemukan jalan penyelesaian. Gangguan tersebut boleh dikatakan agak kuat," katanya. Menurut wakil berkenaan, hasil pertemuan empat mata itu, dua solusi jangka panjang dan jangka pendek disepakati bagi mengatasi isu tersebut. Rakaman ketika wanita berkenaan mencetuskan kekecohan di sebuah stesen minyak menjadi tular. -Foto media sosial "Penyelesaian jangka pendek, sementara waktu, elakkan interaksi atau provokasi terhadap isteri agar tidak memicu reaksi yang tidak diingini. Maafkan beliau, kerana ini bukanlah yang diinginkan. "Penyelesaian jangka panjang, MPP Saujana Utama akan bekerjasama dengan MPP Bandar HillPark untuk membantu mencari jalan penyelesaian dalam merawat isteri Encik Rosdi. "PIBG SKSU juga akan memberikan sokongan kepada keluarga mereka," katanya lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Wanita pandu Vellfire, bawa kayu ganggu penduduk didakwa sakit mental gara-gara ilmu hitam Malah wakil berkenaan turut memohon agar pemandu wanita tersebut tidak ditularkan sebagai pesakit yang mengalami masalah mental. "Berikan sokongan moral kepada keluarga ini dengan kata-kata yang baik, agar keadaan tidak bertambah buruk. Hindari cercaan atau buli terhadap anak-anak mereka. "Berkenaan isu isteri yang memandu secara berbahaya, percayalah bahawa Encik Rosdi telah memikirkan pelbagai cara, tetapi isteri beliau mempunyai rutin tersendiri. Gangguan kepada isteri boleh menyebabkan masalah bagi suami. "Diharapkan urusan keluarga ini dipermudahkan. Semoga mereka segera menemukan jalan penyelesaian. Hanya Allah yang Maha Kuasa dapat memberikan pertolongan," tulisnya lagi. Isu ini lebih kepada keadaan yang berada di luar kawalan manusia, mungkin melibatkan gangguan makhluk lain. MAJLIS PERWAKILAN PENDUDUK SAUJANA UTAMA Terdahulu, kisah seorang pemandu wanita dipercayai mempunyai masalah mental mengganggu ketenteraman penduduk Saujana Utama menjadi tular selepas dikongsikan oleh pelayar dalam satu hantaran di grup Facebook Saujana Utama. Individu tersebut sempat merakam tindakan pemandu wanita berkenaan yang berniqab dan berjubah hitam melakukan kekacauan di sebuah stesen minyak kawasan itu pada Khamis. Dalam video yang sama, wanita yang memantu kereta Toyota Vellfire itu dilihat mengeluarkan sebatang kayu sebelum dirampas oleh orang awam berada di situ. Imej yang dimuat naik oleh pelayar berbeza yang terserempak dengan wanita berkenaan. -Foto media sosial Seorang lelaki yang mengaku dirinya adalah suami kepada wanita berkenaan tampil memohon maaf atas apa yang berlaku dan dalam masa sama menafikan dia bersikap lepas tangan. Difahamkan, Polis Daerah Sungai Buloh kini melakukan siasatan terhadap kes gangguan dilakukan wanita itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Kanun Keseksaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube