suria

Tragedi Jumaat... MPV terjunam dalam sungai, 3 kanak-kanak terkorban

Pasukan bomba melakukan selaman di lokasi kemalangan membabitkan sebuah MPV di sungai berhampiran Kampung Awat-Awat. -Foto Ihsan bomba

TIGA kanak-kanak terkorban selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai di Kampung Awat-Awat, Sundar, Lawas, pada petang Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Mohamad Nazran Ag Matasan, 10; Eryna Akifa Imani Zukri, 8, dan Mohd Fayard Mohd Azmi, 5.

Ketiga-tiganya disahkan meninggal dunia semasa diberikan rawatan lanjut di Hospital Lawas.

Sementara itu ujar Azman, seorang mangsa dilaporkan parah manakala enam yang lain terselamat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis! Warga emas temui ajal, kereta terbabas masuk longkang

Azman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 1.15 tengah hari membabitkan Perodua Alza yang dinaiki 10 orang terbabit dalam kemalangan.

"Kesemua mangsa menuju ke Kampung Awat-Awat, Sundar dari SK Agama (MIS) Lawas.

"Tiga kanak-kanak yang meninggal dunia terperangkap dalam kenderaan dan mereka dikeluarkan orang awam sebelum dihantar ke hospital.

"Enam mangsa berjaya dikeluarkan oleh pemandu ketika kereta terbabas ke dalam sungai.

"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melakukan Skin Dive untuk memastikan tiada mangsa lagi yang terperangkap dalam kenderaan," katanya memetik kenyataan pada Jumaat.

Setelah keadaan selamat dan terkawal, operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 2.50 petang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain