suria

Bekas pengikut GISBH dedah adik usia 6 tahun mangsa serangan seksual... Terpaksa jadi ‘pengkhianat' lapor kegiatan amang seksual di rumah kebajikan

Dalila akui adik lelakinya merupakan salah seorang mangsa eksploitasi GISBH.

BEKAS ahli Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) mendedahkan sebahagian besar pengikut kumpulan itu tidak mengetahui Aurad Muhammadiyah yang menjadi pegangan mereka difatwakan sesat dan haram.

Menurut Dalila Diyana, pengikut kumpulan itu yang sentiasa dikongkong dan tidak didedahkan dengan perkembangan dunia luar menjadi penyebab mereka tidak mengetahui pengharaman berkenaan.

"Saya duduk dalam jemaah berkenaan sejak zaman Rufaqah dan tidak tahu Aurad Muhammadiyah difatwakan haram serta dibubarkan pada 2013.

Sidang media bekas ahli GISBH mendedahkan kesesatan kumpulan berkenaan.

Sidang media bekas ahli GISBH mendedahkan kesesatan kumpulan berkenaan.

"Kami tidak dibenarkan pegang telefon, sebarang akses kepada televisyen tidak dibenarkan. Kami dikawal sepenuhnya, saya tidak tahu ia diharamkan dan hanya tahu Ummu Jah bertaubat bagi isu seks berkaitan Islam. Bukan saya sahaja, malah ramai yang tak tahu," katanya.

Dia berkata demikian pada sidang media khas yang turut dihadiri barisan peguam daripada Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co di Binjai 8 Premium Soho, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sementara itu tambah Dalila Diyana, dia hanya mengetahui tentang hal berkenaan selepas polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 18 rumah kebajikan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada awal September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ajaran sesat Aurad Muhammadiyah cuba dihidupkan semula... Pengerusi, pengetua madrasah ada kaitan GISBH ditahan!

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah taubat, GISBH tak ikut amalan sesat Al-Arqam - Anak Ashaari Muhammad

Ujar wanita itu, adiknya yang berusia enam tahun adalah salah seorang mangsa amang seksual dan liwat di rumah kebajikan kendalian GISBH.

Akui Dalila Diyana, dia merupakan individu yang membuat laporan polis berhubung wujudnya kes eksploitasi kanak-kanak di rumah kebajikan.

Kami tidak dibenarkan pegang telefon, sebarang akses kepada televisyen tidak dibenarkan.

DALILA DIYANA

BEKAS AHLI GISBH

"Saya nak adik dapat hak. Tak sangka pada malam tu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan adik dan ramai lagi.

"Saya tak sangka kerana laporan polis itu juga ramai mangsa dapat diselamatkan. Sangat sadis apa yang berlaku pada mereka," katanya merujuk kepada serbuan di Negeri Sembilan.

Sementara itu, seorang lagi bekas pengikut GISBH, Mohamad Adam Rahmad memaklumkan dia antara ahli yang 'kuat melawan' kerana mendakwa tidak menerima sebarang bayaran gaji sepanjang bertugas di premis milik syarikat itu.

Mohamad Adam (dua kiri) mendakwa isterinya dipaksa memfailkan fasakh berikutan beliau keluar dari GISBH.

Mohamad Adam (dua kiri) mendakwa isterinya dipaksa memfailkan fasakh berikutan beliau keluar dari GISBH.

Katanya, selain tidak dibayar gaji selama 10 tahun bekerja dia juga tidak menerima potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Selepas saya keluar GISBH, mereka sembunyikan anak-anak dan isteri saya. Saya cuba mencari tetapi gagal. Saya hanya jumpa isteri beberapa bulan kemudian tetapi dia dipaksa memfailkan fasakh.

"Saya masih sayangkan isteri dan mahu hidup bersama dengan anak-anak seperti keluarga yang lain. Saya harap dia kembali," katanya yang memaklumkan selama ini mereka sekeluarga tidak pernah hidup sebumbung, sebaliknya dipisahkan sejak berkahwin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain