suria

KLIA 2024 dedah teknik pengajaran kepada umum, peluang anak autistik serlahkan bakat

Karnival Intervensi Awal 2024 julung kali diadakan.

BAGI menyerlahkan potensi dan kebolehan kanak-kanak autistik, Pusat PERMATA Kurnia (PPK) di bawah Bahagian PERMATA, Kementerian Pendidikan Malaysia menganjurkan Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA 2024).

Program bertemakan 'Masyarakat MADANI Memperkasa Kelestarian Intervensi Awal' ini berlangsung pada 19 dan 20 Oktober di pusat beli belah AEON Alpha Angle, Wangsa Maju, Kuala Lumpur bermula pukul 10.00 pagi hingga 6 petang.

Sejajar seruan kerajaan untuk memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak autistik berada pada tahap terbaik, program yang julung kali diadakan ini turut disertai keluarga kanak-kanak PPK, komuniti setempat, komuniti autisme dan murid-murid sekolah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan keterlihatan (visibility) Intervensi Awal dan kesediaan Pendidikan Inklusif dalam konteks MADANI selain memberi peluang kepada murid berkeperluan khas (MBPK) menyerlahkan bakat serta potensi diri.

Pada masa sama, KLIA 2024 membantu memberi input dan perkhidmatan sokongan kepada ibu bapa dalam merancang hala tuju MBPK.

Terdahulu, Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 ini dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Mengulas tentang program yang berlangsung, ujar beliau, penganjuran KLIA 2024 membolehkan pihaknya berkongsi maklumat dan kepakaran kepada khalayak berhubung kaedah mendidik murid berkeperluan khas.

Fadhlina beramah mesra dengan kanak-kanak Permata Kurnia.

Fadhlina beramah mesra dengan kanak-kanak Permata Kurnia.

"Kita berkongsi maklumat, kepakaran dan apa yang dilaksanakan ini didedahkan pada khalayak umum khususnya ibu bapa yang hadir.

"(Mereka) dapat melihat bagaimana kita melaksanakan tugas-tugas harian kita.

"Saya fikir tidak mudah untuk menguruskan satu segmen bersama kanak-kanak ini... cikgu yang berpeluh berbanding anak murid, namun itulah hakikatnya," jelas Fadhlina.

Malah katanya, dalam usaha untuk memacu tugas intervensi awal, setiap guru dan petugas terlibat perlu mempunyai tahap kesabaran yang tinggi.

"Bagi berhadapan dengan kanak-kanak ini setiap hari... tidak mungkin melainkan (guru-guru) mempunyai kesabaran dan kualiti yang sentiasa diterapkan dalam latihan perguruan kita," tambahnya.

Dalam pada itu, katanya, KLIA 2024 merupakan platform untuk menghubungkan masyarakat umum dengan kaedah intervensi awal autisme bagi menyerlahkan potensi dan kebolehan kanak-kanak autisme.

Pada masa sama, gambaran positif dapat diberikan kepada ibu bapa dan komuniti bahawa individu autisme juga boleh menyumbang kembali kepada masyarakat dengan kemahiran yang mereka ada melalui bidang pekerjaan yang diceburi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain