suria

Anak sulung Abuya bawa polis tunjuk lokasi dikurung

Ummu Atiyah merupakan anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam.

POLIS merakam keterangan anak perempuan Abuya, Ummu Atiyah Ashaari berhubung dakwaan dia dikurung dan menjadi mangsa dera.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata kenyataan anak sulung kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad itu dirakam di Balai Polis Padang Gajah, Perak sekitar pukul 11 pagi pada Ahad.

"Dia mendedahkan dikurung di dalam sebuah rumah dua bilik untuk tempoh lebih kurang sebulan," katanya ketika dihubungi.

Tambah Razarudin, Ummu Atiyah turut mendakwa dia cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dan dikurung semula di dalam rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemimpin GISB rakus tak sabar nak ratah tubuh, adik lelaki pula ‘londeh’ maruah kakak... Anak sulung Ashaari Muhammad jadi mangsa, teruk didera

"Pegawai penyiasat dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping membawa Ummu Atiyah ke Perkampungan Maahad Sayuti di Batu Hampar Dalam, Perak

"Dia menunjukkan rumah yang digunakan pengikut Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) untuk mengurungnya sebelum dia dihantar ke rumah neneknya di Kedah," ujar Razarudin.

Terdahulu pada Sabtu, Razarudin memaklumkan polis sudah membuka kertas siasatan mengenai pendedahan Ummu Atiyah mendakwa dia dikurung.

Razarudin juga mengesahkan bahawa Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis berhubung dakwaan dipaksa berkahwin dengan pemimpin GISBH di Turkiye sebelum dibawa pulang ke Malaysia dan dikurung di Batu Hampar.

Pada pagi Ahad, difahamkan Ummu Atiyah mengambil masa sekitar 30 minit untuk menunjukkan kepada anggota polis lokasi dia dikurung dalam penempatan GISBH di Kampung Batu Hampar Dalam.

Wanita berusia 41 tahun yang mengenakan baju kebarung kelabu itu dilihat tiba pada pukul 2.38 petang dengan menaiki kereta jenis Proton X70 SUV sambil ditemani tiga rakannya, dia seterusnya bertolak pulang pada pukul 3.07 petang.

Kenderaan Ummu Atiyah diiringi lima kenderaan polis membawa 10 anggota, diketuai oleh Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan N Suder dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Taiping. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain