SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dalam kejadian pada pagi Ahad di Kilometer 14.9, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) menghala ke Pantai Dalam. Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Sohirol Rizal Madon berkata Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menerima laporan kejadian itu pada jam 8.28 pagi. Ujarnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seputeh digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran. ARTIKEL BERKAITAN: Kereta dipandu terbakar, warga emas maut alami lecur 90 peratus "Setibanya bomba di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios berpunca daripada kemalangan jalan raya. "Pemandu kereta itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. "Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan ringan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan," katanya dalam kenyataan, pada Ahad. Sohirol Rizal berkata, kenderaan terbabit terbakar 100 peratus dan operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya pada pukul 9.40 pagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube