OPERASI pencarian yang memasuki hari ketiga akhirnya berjaya menemukan mayat lima mangsa insiden bot regata karam yang dilaporkan hilang sejak Jumaat. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, kesemua mangsa ditemukan di perairan Royal Bay Commercial Centre, Kuching pada pagi Ahad. Ujarnya, dua mangsa ditemukan pada pukul 6.16 pagi, mangsa ketiga pada pukul 6.40 pagi, manakala mangsa keempat dan kelima dijumpai pukul 7.07 pagi dan 7.09 pagi. Mangsa terbabit adalah Mohammad Ikhmal Sama’ail, 34; Majurie Maharuf, 32; Mohd. Afiq Isyamudin Asaari, 26; Mohamad Khairul Bidin, 26; dan Muhammad Khairul Hisham Kasturi, 23. ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa bot karam 30 jam tengah laut cerita detik cemas... dikelilingi ikan sebesar bas, dengar suara azan Mereka adalah kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Jabatan Premier Sarawak. Ujarnya lagi, mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut. Terdahulu media melaporkan, kesemua mangsa bersama 11 lagi rakan sepasukan menjalani latihan perlumbaan perahu sebagai persediaan untuk menyertai Regatta Sarawak pada 1 hingga 3 November ini. Bagaimanapun perahu panjang yang mereka naiki karam selepas dibadai gelombang yang terhasil daripada kapal nelayan dari arah bertentangan pada petang Jumaat lalu. Dalam insiden itu, 11 daripada 16 peserta berjaya menyelamatkan diri. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube