MEMORI 17 tahun lalu pastinya tidak dapat dilupakan oleh seorang gadis kerana ia momen terakhir sebelum kehilangan ibu tersayang. Dikejutkan awal pagi, gadis berkenaan yang ketika itu masih kanak-kanak bangun dalam keadaan mamai sempat bersalam dengan ibu yang mahu pergi bekerja. “Kira-kira 17 tahun lalu salam mak, lepas tu mak pesan ‘bawah tudung saji mak ada buatkan nasi goreng kicap untuk kakak nanti sebelum pergi sekolah makan ok’. “Lepas tu sambung tidur semula... tak sampai 15 minit jiran sebelah rumah datang ketuk pintu cakap bas yang mak naik masuk gaung,” menurut tulisannya di laman sosial berkongsi pengalaman patah hati yang paling dirasai kesakitannya. ARTIKEL BERKAITAN: Sebak... Selesai jenazah dikebumikan, balik rumah jamah nasi lemak terakhir dimasak arwah emak ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bayangkan kalau tak sempat...” - Cucu nangis bagai nak gila lihat neneknya tekun suap 6 anak usia lebih 50 tahun Gadis berkenaan, Nurul Hidayah Zulkflee, 23, berkata, walaupun insiden berlaku 17 tahun lalu, tetapi ia sentiasa segar dalam ingatan dan jauh sekali untuk melupakannya. Perkongsian Nurul Hidayah di laman sosial menyentuh emosi. Walaupun baru berusia enam tahun ketika kejadian, tetapi setiap saat bersama arwah ibunya, Allahyarham Siti Rohayah Johari dirasakan seperti baru berlaku semalam. “Mak sepatutnya bercuti pada hari kejadian, tapi dia menggantikan rakan sekerjanya yang juga jiran kami kerana demam. Awal mak bangunkan saya pagi tu, kira-kira pukul 6 pagi. “Terlalu awal untuk saya yang baru enam tahun. Tapi dalam keadaan mamai tu, saya masih mahu bangun pandang muka mak dan salam tangan dia sebelum sambung tidur,” katanya kepada mStar. Nurul Hidayah (kanan) dan arwah ibu. Nurul Hidayah berkata, semuanya berlaku dengan pantas kerana apa yang berlaku seterusnya adalah menerima khabar berita mengenai ibu maut kemalangan membabitkan bas kilang yang dinaikinya di Segamat, Johor. “Kami diberitahu ibu dan pemandu bas antara mangsa yang maut. Pemandu bas dipercayai mengantuk sehingga bas beberapa kali terbalik sebelum terhumban ke kawasan seperti gaung. Setiap kali nampak ada orang makan nasi goreng kicap akan membuatkan saya terkenang, termenung sampai rasa sebak NURUL HIDAYAH “Masa tu tak tahu nak menangis ke tak, saya cuma termenung. Hari tu juga saya demam mungkin kerana terkejut,” ujar anak kedua daripada tiga beradik itu. Anak jati Jengka, Pahang itu memberitahu, nasi goreng kicap yang dimasak ibunya dimakan bersama adik lelaki yang ketika itu baru berusia setahun dua bulan. Arwah ibu meninggalkan pesanan buat Nurul Hidayah supaya menjaga adik lelakinya. Menurut Nurul Hidayah, ia merupakan masakan kegemaran yang dibuat ibu dan tanpa disangka-sangka menjadi sajian terakhir buat mereka adik-beradik. “Dan sejak itu juga saya tak lagi makan nasi goreng kicap. Saya sendiri tak akan masak nasi goreng tu, apatah lagi nak membelinya di kedai. “Setiap kali nampak ada orang makan nasi goreng kicap akan membuatkan saya terkenang, termenung sampai rasa sebak,” katanya yang kini menetap bersama datuk dan neneknya serta adik lelaki. Nurul Hidayah (kanan) bersama ibu bapanya dan adik lelaki. Namun menurut cerita neneknya, kata Nurul Hidayah, sudah ada tanda-tanda dua bulan sebelum kejadian mengenai ibunya yang begitu mengidamkan buah manggis. “Tapi atuk (panggilan buat nenek) tak kasi sebab nanti mak mabuk pening kepala. Mak kemudian kata nanti mak tak akan makan lagilah lepas tu. Sampai akhirnya memang dia tak makan. “Syukur jenazah mak dalam keadaan baik sampai ramai pelik sebab mak maut dalam kemalangan bas tapi tak ada luka-luka. Sampai kena hantar untuk bedah siasat nak periksa jenazah mak. “Arwah mak pernah pesan kalau dia dah tak ada lagi nanti, jagalah adik elok-elok. Sampai sekarang saya pegang amanah yang mak berikan,” katanya.