suria

“Adoi panggil kakak lagi, ampun tuanku” - Agong, Permaisuri tak sempat singgah gerai, peniaga durian cuba nasib jumpa di airport selepas hafal skrip

Mohd Rafi berpeluang bertemu dengan Tunku Azizah di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas sebelum baginda berangkat pulang ke Kuantan, Pahang pada Ahad. Foto ihsan Mohd Rafi Yakob

PENIAGA durian di Pulau Pinang antara individu yang paling teruja apabila menerima berita keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke negeri itu sempena lawatan rasmi selama tiga hari.

Tunku Azizah sebelum ini menyuarakan hasrat untuk berkunjung ke gerai Mohd Rafi Yakob yang merupakan kunjungan kali kelima baginda bersama suami, Yang di-Pertuan Agong.

Namun, jadual yang padat menyebabkan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tidak berkesempatan berkunjung ke gerai peniaga berusia 37 tahun itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rafi berdebar Agong, Permaisuri nak mai... Skrip dah hafal takut tersasul panggil abang - “Cukuplah dulu terpanggil Tunku Azizah kakak”

ARTIKEL BERKAITAN: Permaisuri Agong nak datang? Peniaga durian gelabah lagi, takut pengsan selepas panggil Tunku Azizah ‘kak’ - “Dulu saya demam...”

Rata-rata netizen yang mengikuti perkembangan kisah tular Mohd Rafi selepas memanggil Tunku Azizah dengan panggilan 'kakak' ketika baginda membeli durian di gerainya di Gurney Drive, turut menantikan kemunculan baginda di gerai.

"Tak sempat pasal program banyak," tulis Tunku Azizah yang memberi respons kepada pertanyaan seorang pengguna Twitter.

Mohd Rafi ceria bertemu dengan Tunku Azizah.

Walaupun pasangan diraja itu tidak berkesempatan berkunjung ke gerai itu, Mohd Rafi bagaimanapun bertuah apabila berpeluang bertemu baginda.

Mohd Rafi berkata, dia mencuba nasib untuk menghadap Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas semasa kebarangkatan pulang baginda ke Kuantan, Pahang.

"Saya tahu dua hari jadual tuanku sangat padat dan saya telah pun buat persiapan menerima kehadiran tuanku. Tapi saya faham, jadi saya mencuba nasib untuk berjumpa dengan tuanku dengan kerjasama pihak istana.

"Syukur Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk menghadap tuanku dalam pertemuan singkat," katanya dengan nada teruja kepada mStar.

Gambar kiri menunjukkan foto kenangan Mohd Rafi bersama Permaisuri Agong yang ketika itu memakai gelaran Tengku Puan Pahang sementara gambar kanan pula dia bersama kain rentang yang dibuat untuk menyambut kedatangan baginda bersama suami.

Mohd Rafi yang berniaga raja buah sejak lebih empat tahun itu berkata, dia paling tidak menyangka dapat bertemu dengan Al-Sultan Abdullah.

"Saya dapat bersalam dengan tuanku, cuma tak sempat untuk bergambar bersama. Walaupun tuanku senyum pandang saya, dalam hati betapa gemuruhnya saya, sampai terketar-ketar dibuatnya.

Hajat nak bawa durian ke lapangan terbang, tapi fikir balik nanti tak lepas pula masa pemeriksaan keselamatan. Nanti risau tak boleh bawa masuk durian dalam pesawat.

MOHD RAFI

"Tak sia-sia saya hafal skrip, masa tu tersangatlah lega sebab saya panggil tuanku, tak tersasul dengan panggilan 'abang'. Tapi memang sangat nervous sampai tak terkata sebab pertama kali menghadap tuanku.

"Tapi sudahnya saya terpanggil Raja Permaisuri Agong pula dengan panggilan 'kakak'... beberapa kali pula tu. Adoi panggil kakak lagi, ampun tuanku," katanya.

Lukisan potret Tunku Azizah pemberian Mohd Rafi.

Dalam pertemuan singkat selama lima minit itu, Mohd Rafi menghadiahkan lukisan potret Tunku Azizah sebagai cenderahati kepada Raja Permaisuri Agong.

"Tuanku beritahu akan datang singgah ke gerai pada masa akan datang. Terima kasih atas kesudian tuanku untuk datang lagi," katanya.

Namun, Mohd Rafi berasa terkilan kerana tidak berkesempatan berkongsi durian kepada baginda terutama durian jenis Duri Hitam kegemaran Tunku Azizah.

"Hajat nak bawa durian ke lapangan terbang, tapi fikir balik nanti tak lepas pula masa pemeriksaan keselamatan. Nanti risau tak boleh bawa masuk durian dalam pesawat.

"Tak apa, saya sentiasa menanti kehadiran tuanku ke gerai saya untuk menikmati durian. Dapat jumpa tuanku di lapangan terbang pun dah bersyukur sangat, terima kasih tuanku," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain