suria

Siswa tiba-tiba terjaga tidur, rupa-rupanya petanda bakal dapat khabar duka - “Sepanjang perjalanan, air mata tidak henti-henti mengalir”

Najmi menerima mesej mengenai pemergian bapanya menerusi aplikasi Whatsapp.

“ASSALAMUALAIKUM semua. Pukul 6 pagi tadi abah dah tak ada”

Demikian pesanan ringkas yang diterima oleh Muhamad Aliff Najmi daripada ibunya, sekaligus membuatkan empangan air matanya pecah pada awal pagi Jumaat lalu.

Remaja yang mesra disapa dengan panggilan Najmi berkongsi kisah sedih itu bersama mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak segera siapkan urusan kahwin anak satu petanda, ayah pergi 4 hari sebelum jadi wali nikah - “Masih ada lagi bau ayah pada jam tangannya”

ARTIKEL BERKAITAN: Perginya mengejut, bapa tunggal hiba anak 4 bulan demam panas rindukan ibu – “Saya gantung baju arwah tepi baby cot, pakai minyak wangi arwah”

Katanya, mesej yang diterima menerusi WhatsApp itu benar-benar membuatkan dia tersentak.

“Sebelum itu kira-kira pukul 6.10 pagi saya tiba-tiba saja terjaga daripada tidur. Biasanya jarang jadi macam tu. Selepas enam minit, saya terima mesej di Whatsapp mengatakan ayah dah tiada.

“Terduduk sekejap kerana sukar nak gambarkan perasaan ketika itu. Masa itu air mata memang terus mengalir. Selepas bertenang, saya bangun dan terus ambil wuduk untuk solat Subuh.

“Selesai semuanya, saya terus bertolak ke Mersing, Johor pada pukul 6.30 pagi,” kata penuntut di Kolej Profesional Mara di Indera Mahkota, Pahang.

Posting Najmi di Twitter membuatkan ramai netizen tersentuh hati.

Menurut Najmi, bapanya Baharudin Muda, 50, meninggal dunia kerana menghidap kanser usus yang dideritainya sejak beberapa tahun lalu.

“Sepanjang memandu ke kampung yang mengambil masa selama kira-kira tiga jam, air mata tidak henti-henti mengalir.

“Apatah lagi mengenangkan saya pernah menghubungi umi sebelum itu dan memberitahu mahu pulang ke kampung tengok abah pada Jumaat selepas habis kuliah.

“Tak sangka, memang pada hari yang sama abah hembuskan nafas terakhir, di waktu awal pagi ketika azan subuh sedang berkumandang,” ujar anak ketiga daripada empat beradik itu.

Umi selalu cerita pasal arwah abah kepada kami. Katanya, abah seorang yang suka bersedekah. Setiap kali pergi berjemaah Subuh ketika sihat dulu, selalu masukkan dalam tabung surau.

MUHAMAD ALIFF NAJMI BAHARUDIN

ANAK

Berkongsi lebih lanjut kisah sedih itu, Najmi berkata bapanya baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari sebelum meninggal dunia.

“Abah pernah dibedah pada dua tahun lalu, dan selepas itu keadaannya beransur sembuh. Tapi bermula Januari lalu, keadaan kesihatannya semakin merosot, tak ada selera makan selain muntah-muntah.

“Badannya memang susut. Umi cerita, pada malam sebelum meninggal abah ada beritahu nenek yang dia tak tahan menanggung kesakitan.

“Walaupun amat sedih, tapi kami reda dengan pemergiannya,” ujar Najmi.

Bapa Najmi, Baharudin Muda meninggal dunia kerana menderita kanser usus sejak beberapa tahun lalu.

Cerita remaja ini lagi, ibunya adalah insan yang paling terkesan dengan pemergian bapanya.

“Umi selalu cerita pasal arwah abah kepada kami. Katanya, abah seorang yang suka bersedekah. Setiap kali pergi berjemaah Subuh ketika sihat dulu, selalu masukkan dalam tabung surau.

“Jika ada bacaan Yasin di surau, abah mesti minta umi masakkan makanan untuk dihantar ke surau. Kadang-kadang, abah akan minta anak-anak hantarkan.

“Abah tak cakap, tapi abah tunjukkan kepentingan bersedekah menerusi perbuatan agar anak-anaknya ikut. Kata umi, ramai orang solatkan jenazah abah… urusan pun dipermudahkan. Syukur Alhamdulillah,” ujar Najmi.

Gambar kenangan Najmi (dua, kanan) bersama arwah bapanya (tiga, kiri) dan adik-beradiknya.

Tiga hari selepas pemergian bapanya, Najmi berkata meskipun reda, namun perasaan sedih dan rindu tetap bertandang setiap kali teringatkan kenangan bersama arwah.

“Selepas urusan pengebumian selesai, perasaan rindu tu datang. Sebab itu saya post di Twitter, dalam masa sama minta sesiapa yang membacanya, turut mendoakan arwah abah.

“Sekarang ini untuk mengubat kerinduan, saya akan tengok gambar-gambar, video dan barang pemberian arwah abah yang ada dalam simpanan.

“Pada sesiapa yang masih ada ibu atau bapa, berbaktilah kepada mereka selagi masih ada,” ujarnya mengakhiri bicara.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
siswa, whatsapp, air mata, kanser usus, bapa

Artikel Lain