SEORANG remaja mencuri tumpuan baru-baru ini kerana memakai baju Shell naik ke pentas apabila diumumkan sebagai salah seorang pelajar cemerlang bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 di sekolahnya. Susulan peristiwa itu, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain turun padang bertemu dengan remaja berkenaan, Muhammad Amir Hakim Shaharudin yang bekerja di sebuah stesen minyak di Puchong, Selangor, selepas videonya tular di media sosial. Namun siapa sangka, selain Muhammad Amir, seorang lagi pekerja di stesen minyak syarikat itu, tetapi di lokasi berasingan turut mendapat keputusan yang sama iaitu 5A. ARTIKEL BERKAITAN: “Bermula cabaran RT, budak SPM 5A naik pentas pakai baju Shell terkejut dapat habuan... Apa yang big boss offer memang sempoi!” ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pernah dapat markah corot 38/100, tapi siapa sangka remaja ini catat keputusan SPM 9A! Remaja berkenaan, Ahmad Zikrul Hakim Md Radzi memberitahu, dia membuat posting mengenai dirinya sebagai pekerja stesen minyak yang turut memperoleh keputusan SPM 5A sekadar untuk berkongsi dengan rakan-rakannya di laman sosial. Keputusan SPM 2019 milik Ahmad Zikrul. Pemuda berusia 18 tahun itu turut menjelaskan ia turut dipengaruhi perasaan bangganya terhadap pencapaian Muhammad Amir sehingga mendapat perhatian daripada ‘bos besar’ syarikat itu. “Saya tak cemburu pun dengan Amir. Niat saya hanya mahu berkongsi berita gembira dengan rakan-rakan, tak sangka pula viral. “Tak kisah pun bos besar tak datang jumpa saya, dan tak perlu pun kerana saya hanya menjalankan tugas saya mengisi minyak kereta pelanggan, itu yang lebih penting. “Saya bangga dengan Amir, sekurang-kurangnya kami buktikan bahawa pekerja stesen minyak yang dapat banyak A dalam keputusan SPM, malah saya dengar ada beberapa lagi yang dapat lebih banyak A daripada kami,” katanya kepada mStar. Ahmad Zikrul mula bekerja di stesen minyak sejak lebih sebulan lalu. Ahmad Zikrul yang bertugas di stesen minyak di Jengka, Pahang berkata, pencapaian tersebut sekurang-kurangnya dapat mengubah persepsi segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap pekerja di stesen minyak. “Mula-mula dulu pun, saya rasa malu nak kerja tapi saya kerja nak cari duit. Kerja saya kena mesra dengan pelanggan dan kalau mereka pun OK, syukur,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka Pusat ini. Anak keempat daripada lima beradik itu turut dipuji netizen apabila memperoleh keputusan A+ untuk subjek Bahasa Inggeris. Bersama rakan-rakan di sekolah pada hari keputusan SPM 2019 diumumkan. Menurut Ahmad Zikrul, dia bersyukur kerana sokongan dan dorongan daripada guru-guru di sekolah yang membantunya sehingga mencapai keputusan cemerlang. Tambahnya, ia termasuk sokongan ibunya yang bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah, selain mempunyai pendekatan tersendiri untuk mahir dalam mata pelajaran itu. Tak kisah pun bos besar tak datang jumpa saya, dan tak perlu pun kerana saya hanya menjalankan tugas saya mengisi minyak kereta pelanggan, itu yang lebih penting. AHMAD ZIKRUL “Kadang-kadang saya bercakap Bahasa Inggeris dengan ibu di rumah, tapi saya banyak speaking semasa kelas Bahasa Inggeris di sekolah. “Saya selalu guna platform Google Translate kalau jumpa perkataan baharu. Saya juga menonton banyak filem Inggeris dan fahamkan dialog yang diperkatakan, kalau tak faham baru saya tengok sari kata (subtitle),” katanya sambil menambah bapanya juga bertugas sebagai guru. Ahmad Zikrul (tengah) bersama ibu bapanya, masing-masing bertugas sebagai guru. Dalam pada itu, Zikrul merancang untuk menyambung pengajiannya di universiti sekiranya diberikan peluang. “Saya bercita-cita untuk menjadi jurutera automotif, bidang ini dalam pertimbangan saya untuk sambung belajar nanti,” katanya.