PENGUMUMAN kerajaan mengenai aktiviti ziarah terhadap jiran terdekat dan keluarga dalam negeri yang sama, sehingga 20 orang pada satu-satu masa, membimbangkan banyak pihak. Kerisauan itu timbul kerana ramai mahu mengelakkan kemunculan kluster Covid-19 yang baharu. Antara yang membantah cadangan itu adalah pakar perunding nefrologi, Dr Rafidah Abdullah, malah beliau memohon agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan semula saranan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau dalam apartment, dah kira sempit dan sesak” - Dr Noor Hisham perjelas kekeliruan ziarah raya 20 orang ARTIKEL BERKAITAN: Selepas umum PKPB disambung 4 minggu, PM seloroh jangan selalu mainkan lagu 'Dendang Perantau'... Tiada rumah terbuka, ziarah raya rentas negeri tetap tak boleh! Ini kerana katanya, rumah yang amat besar diperlukan untuk memastikan penjarakkan sosial yang selamat. Dr Rafidah (kiri) memohon agar Muhyiddin mempertimbangkan tentang saranan membabitkan aktiviti ziarah. Foto Facebook Rafidah Abdullah/Bernama "Saya dengan merendah diri memohon Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Malaysia menimbang semula saranan membenarkan kunjungan hari raya (had maksimum) seramai 20 orang. "Untuk mengekalkan jarak sosial selamat, rumah tersebut mesti rumah yang sangat-sangat besar. Berapa ramaikah masyarakat kita yang ada rumah sebesar itu? "Mampukah mereka mengekalkan saranan yang sangat basic oleh Kementerian Kesihatan Malaysia?" tulisnya di laman Twitter milik beliau, petang Isnin. Dr Rafidah turut mempersoalkan sama ada masyarakat Malaysia dapat bertanggungjawab dalam membendung penularan wabak Covid-19. "Mana anda tahu di antara mereka adalah kontak rapat yang positif Covid-19? Walaupun mereka patut kuarantin tapi masih keluar berjalan-jalan? "Sanggupkah anda menjadi pembawa penyakit (yang mungkin anda kutip dari rumah orang lain) dan jangkitkan orang yang menerima kunjungan anda? "Elok-elok mereka sihat, dapat jangkitan jadi tenat dan menghadapi risiko kematian?" tambahnya. Antara hujahan Dr Rafidah mengenai kebimbangan beliau terhadap aktiviti ziarah. Sehubungan itu, Dr Rafidah mencadangkan agar semua orang hanya berhari raya di rumah keluarga mereka sendiri. "Paling banyak ibu bapa anda dan ibu bapa mentua. Itupun jika berada di dalam negeri yang sama. "Maksimum dua rumah. Sekejap saja. Lepas itu, balik rumah sendiri," katanya. Sanggupkah anda menjadi pembawa penyakit (yang mungkin anda kutip dari rumah orang lain) dan jangkitkan orang yang menerima kunjungan anda? DR RAFIDAH ABDULLAH Malahan katanya, bagi mereka yang mahu menerima kunjungan ziarah, tuan rumah perlu menyediakan prosedur operasi standard (SOP) sendiri. "Buat saringan di pintu pagar (tanya simptom, kontak dan periksa suhu badan). Sediakan topeng muka dan pastikan setiap pengunjung basuh tangan di pintu masuk rumah. "Jika tiada SOP ketat, baik kunci sahaja rumah," katanya. Saranan yang dicadangkan untuk ditampal di luar pintu pagar rumah. Menerusi perkongsian tersebut, Dr Rafidah turut memuat naik satu saranan yang dicadangkan buat tuan rumah sempena Aidilfitri nanti. "Saya ingin mencadangkan kita cetak dan tampal ini di luar pintu pagar rumah - Maaf, rumah ini tidak menerima tetamu. Tuan dan puan rumah ini adalah golongan berisiko (tua dan berpenyakit kronik) untuk mendapat komplikasi dan maut jika dijangkiti oleh Covid-19. "Mohon anda juga balik ke rumah," menurut saranan yang dikongsikan itu. Pada Ahad, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah jiran terdekat dan keluarga dalam negeri yang sama, dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa. Menerusi pengumuman yang dibuat oleh Muhyiddin, kelonggaran itu diberikan kepada rakyat yang menyambut tiga perayaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hingga 9 Jun ini, iaitu Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun pada sidang media petang Isnin menjelaskan bahawa bilangan 20 orang itu adalah terdiri daripada ahli keluarga terdekat dan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakkan sosial perlu dipatuhi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!