suria

Tak berdarah pun! Isteri terkejut doktor beritahu gigitan manja kucing di tangan suami boleh bawa maut... tanda bermula dengan lemah satu badan

Suami Anis selamat menjalani pembedahan di tangan kirinya kira-kira pukul 1 pagi Ahad lalu.

KUCING sememangnya terkenal dengan sifat suka bermanja-manja dengan manusia dan disebabkan itu jugalah ramai menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.

Namun ramai tidak tahu bahawa kesan gigitan kucing yang mempunyai sifat semulajadi manja dengan menggigit dan mencakar boleh membawa maut.

Menerusi perkongsian seorang wanita, dia berkongsi pengalaman buruk dilalui suaminya akibat gigitan si bulus jalanan yang dibela mereka sejak dua bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu tak bagi bela, anak terpaksa ‘culik’ kucing sekolah... tapi kasihan misi gagal - “Saya tertanya-tanya, dari mana bunyi tu”

ARTIKEL BERKAITAN: Pensyarah minta maaf, terpaksa dukung ‘kucing mamai’ sambil mengajar

Menurut Anis Khalidi, suaminya, Syahmi Rabani mula rasa tidak sedap badan dan tangan kiri mula berdenyut selepas digigit kucing peliharaan mereka yang berusia enam bulan pada Ahad lalu.

"Suami saya main dengan kucing tu. Biasanya kucing tu dia bermanja dengan cara menggigit dan mencakar. Gigitan tu memang dalam tapi tak berdarah.

Kesan gigitan kucing pada tangan suami Anis.

"Keesokan harinya (Isnin) suami saya dah start lemah badan. Dia senyap je satu hari tu. Malam tu dah mula rasa tangan dia berdenyut," katanya kepada mStar.

Tidak sedap hati dengan keadaan itu, Anis membawa suaminya mendapatkan rawatan awal di sebuah klinik kesihatan pada keesokan harinya (Selasa).

Namun wanita berusia 30 tahun itu berkata keadaan tangan suaminya menjadi semakin teruk menyebabkan mereka pergi ke Hospital Selayang untuk rawatan susulan pada Khamis.

"Keadaan tangan tu bengkak jadi purple, kebas dan makin berdenyut. Suami dapat rasa kuman dah merebak sampai ke pergelangan tangan.

Doktor beritahu kalau lambat dirawat boleh meninggal dunia dan putus tangan. Memang tak sangka gigitan kucing sangat berbahaya walaupun tidak berdarah.

ANIS KHALIDI

Isteri

"Jadi kami terus pergi ke Jabatan Kecemasan Hospital Selayang. Bila doktor tengok keadaan tangan tu, suami pun terus warded pukul 4 pagi Jumaat.

"Pagi doktor pakar datang check confirm memang ada infection. Sabtu malam, doktor buat X-Ray dua kali sebab nak tengok sama ada kuman tu masuk tulang ke tak. Alhamdulillah tak ada," katanya.

Selepas itu, Anis berkata suaminya menjalani pembedahan untuk mengeluarkan tisu lembut pada tangan kiri yang terkena jangkitan kuman daripada air liur si bulus peliharaan mereka.

"Pukul 1 pagi doktor buat operation. Isnin pagi doktor buka memang saya terkejut. Saya tak expect kesan luka tu besar sangat.

Suami Anis sedia untuk menjalani pembedahan pada tangan kirinya.

"Doktor jumpa banyak soft tissue dah mati disebabkan jangkitan kuman tu. Jadi luka tu dibiarkan terbuka sebab kena cuci selang dua hari," katanya.

Namun Anis lega kerana keadaan suaminya beransur pulih selepas pembedahan dilakukan.

"Alhamdulillah kesihatan suami semakin baik. Bengkak macam belon warna purple tu pun dah kurang. Memang lega sangat-sangat.

"Doktor beritahu kalau lambat dirawat boleh meninggal dunia dan putus tangan. Memang tak sangka gigitan kucing sangat berbahaya walaupun tidak berdarah," katanya.

Mengenai postingnya yang tular, Anis berkata dia sekadar mahu berkongsi dengan orang ramai mengenai bahaya gigitan si bulus tanpa kita sedari.

"Saya hanya ingin berkongsi pengalaman ngeri dilalui suami saya tapi tak sangka tweet tu tiba-tiba blow up.

"Saya ingin nasihatkan orang ramai supaya sentiasa basuh tangan selepas pegang kucing tak kiralah kucing tu dah vaksin ke tak.

Kesan luka pada tangan suami Anis selepas pembedahan amat besar.

"Kalau kena gigitan kucing manja ke tidak, terus jumpa doktor walaupun tak berdarah sebab bakteria pada air liur kucing boleh membawa maut," katanya.

Selepas insiden itu, Anis berkata dia tidak lagi membela anak kucing tersebut kerana masih lagi trauma.

"Kucing tu kami dah letak bawah apartmen. Kami dah paranoid sejak insiden tu. Bila kucing tu buka mulut je kami dah jadi takut.

"Doktor veterinar pun dah terangkan kalau vaksin pun tak guna juga sebab bakteria dah ada dalam badan kucing tu," katanya.

Beberapa individu turut berkongsi pengalaman sama pernah dilalui mereka.

"Dulu arwah abah pernah kena camni. Gurau-gurau dengan dengan kucing yang tengah tidur. Geletek-geletek perut. Memang kami bela kucing tu. Agaknya dia ngantuk sangat diajak gurau, digigitnya tapak tangan abah. Mula-mula tak rasa apa, sakit biasa je. Lama-lama berdenyut. Pergi klinik, ambil injection. Air liur kucing memang bahaya," kata seorang netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
kucing, gigitan, bengkak, pembedahan, air liur

Artikel Lain