SELAIN ibu dan bapa, guru merupakan insan yang perlu disanjung tinggi kerana membentuk kita menjadi insan berguna dalam kehidupan. Namun seorang guru meluahkan rasa terkilan dengan sikap biadab segelintir pelajar yang kini seolah-olah sudah hilang rasa hormat terhadap insan bergelar pendidik ini. Menurut Cikgu Mohd Fadli Salleh dia terkedu apabila terbaca beberapa komen biadab segelintir pelajar yang menghina guru mereka secara terbuka di media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: “Cikgu sukarela pergi sekolah, bukan arahan KPM” - Ismail Sabri tegaskan sekolah masih bercuti, guru belum diminta bertugas ARTIKEL BERKAITAN: Kakak murung jadi ‘hamba’ kepada 3 adik lelaki malas bekerja, tidur sepanjang hari - “Ayah terbiasa biar mak buat kerja rumah, suami dilayan ibarat raja” "Terkedu aku baca. Speechless. Ayat-ayat yang keluar dari segelintir pelajar yang komen sangat-sangat biadab, menghina guru sendiri dan langsung tiada hormat. "Bayangkan ada yang komen kata cikgu tu bodoh, ada yang cuba bayangkan cikgu dia 'main' masa pregnant, gelakkan cara guru berjalan, gelak dan mentertawakan guru mereka yang mengandung," katanya. Paparan skrin mesej berbaur penghinaan terhadap guru mengandung yang dikongsi Mohd Fadli di Facebooknya. Bagaimanapun Mohd Fadli turut kecewa apabila ada pelajar yang memberi alasan mereka tidak dapat menguasai subjek Matematik disebabkan guru tersebut hamil. "Ada pula yang memberi alasan dia b**** Maths sebab cikgu Maths dia mengandung. Kau tu dah bebal sejak azali, malas pula membaca dan ulangkaji. Pergi salahkan cikgu buat apa? Aihh, geram pula aku. "Apa mereka ingat mereka lahir dulu keluar ikut pokok durian ke apa? Mak korang pun mengandung macam tu juga. Bahkan korang esok dah kahwin ada rezeki anak, terkengkang juga bawa baby yang membesar dalam perut," katanya. Tegasnya lagi perbuatan mempersendakan wanita hamil tanpa mengira apa pun pekerjaan mereka amat keterlaluan. Antara komen-komen pelajar yang mempersenda guru mereka yang sedang hamil. "Apa seronok ke orang mempersendakan mak kita yang sarat mengandung? Apa ia kelakar bila kakak kita, adik perempuan kita, isteri kita, bahkan diri kita digelakkan, dihina, dimalukan kerana mereka mengandung? "Jika cikgu-cikgu mereka membaca komen-komen biadab ini, pasti cikgu-cikgu mereka sangat terguris hati. Nak buat lawak bukan mempersendakan orang mengandung. Tak kira la dia kerja cikgu ke, cleaner ke, peguam ke," katanya. Semoga adik-adik semua kembali menjadi manusia yang boleh berfikir dengan akal yang waras. Bukan seperti binatang tanpa akal dan perasaan. MOHD FADLI SALLEH Guru Pada masa sama, dia mengakui mendidik akhlak merupakan bahagian paling sukar berbanding mengajar ilmu kepada pelajarnya. "Ilmu itu boleh diajar dan boleh belajar. Tapi adab dan akhlak ni, jika rosak tiada guna ilmu tinggi, rupa cantik, harta bertimbun. Terus jadi hina dan dibenci orang. Tindakan segelintir pelajar tersebut disifatkan agak keterlaluan. Gambar sekadar hiasan. "Hendak memanusiakan manusia agar tidak berakhlak seperti binatang tiada akal inilah part paling mencabar," katanya. Menerusi perkongsiannya itu, Mohd Fadli berharap agar pelajar tersebut berfikiran waras dan menyedari kesilapan mereka. "Semoga adik-adik semua kembali menjadi manusia yang boleh berfikir dengan akal yang waras. Bukan seperti binatang tanpa akal dan perasaan. "Maaf kasar sikit. Tapi memang sengaja pun tulis kasar sikit kali ni biar terasa sampai ke ulu hati mana yang terlibat," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!