suria

Baru pantang bersalin 44 hari, dah pandai kritik doktor! Dr Imelda ‘sekolahkan’ mak-mak ‘bangga’ ikut amalan nenek moyang

Dr Imelda lantang menegur segelintir wanita yang mengikut pantang larang nenek moyang secara membuta tuli tanpa memahami konteks mengikut situasi sebenar.

SEBUT sahaja mengenai berpantang selepas bersalin, pasti ramai terbayang mengenai rutin dan amalan tertentu yang perlu diamalkan oleh wanita yang baru melahirkan anak.

Amalan tersebut diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain, malah ramai yang masih mengamalkannya sehingga kini.

Rata-rata wanita zaman kini yang berpegang teguh dengan amalan berpantang nenek moyang mereka kerana mahu kelihatan langsing dan kekal bertenaga di kala usia melepasi setengah abad.

ARTIKEL BERKAITAN: “Petua orang dulu untuk zaman dulu, bukan sekarang” - Bayi diberi minum air kanji, doktor ajar mak ayah ‘buta’ sejarah

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan buat fitnah! Dr Imelda sekolahkan makcik bawang, bengang komen ‘tak pantang ais punca badan menggeleber’ - “Kalau laki hang nak cari lain, dia cari juga”

Justeru, mereka dengan lantangnya menyanggah pakar perubatan dan mendakwa saranan dan pendapat yang diutarakan oleh golongan ini sebagai 'terlalu moden'.

Doktor perbidanan dan pakar sakit puan, Dr Imelda Balchin yang lantang berkongsi pandangannya mengenai perkara ini turut tidak terkecuali terkena 'tempias' oleh golongan yang berpegang kepada amalan nenek moyang ini.

"Doktor Imelda tu terlalu moden, tak pantang lepas bersalin. Nanti bila umur dia 40 tahun rasalah sakit sana sini. Aku ikut petua nenek moyang aku, sihat je nenek aku sampai 90 tahun," tulis doktor berkenaan di Facebook dalam nada mengajuk kembali komen yang diterimanya daripada netizen.



Dr Imelda Balchin sering membuat perkongsian di media sosial mengenai isu perbidanan dan sakit puan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Terpanggil untuk membuat pencerahan, doktor ini turut 'menyekolahkan' golongan berkenaan yang rata-ratanya mengikut amalan berpantang secara membuta tuli tanpa mengikuti apa yang nenek moyang mereka amalkan sebenar-benarnya.

"Jawapan saya kepada netizen yang dok buat komen macam ni ialah hang (awak) ni betoi ka ikut petua nenek moyang? Hang tak tau pun apa nenek moyang hang buat. Yang hang tau tu tentang amalan berpantang selepas bersalin saja, tapi yang lain hang tak tau," tulisnya dalam dialek utara.

Menurut Dr Imelda, apa yang membuatkan wanita zaman dahulu kekal cergas walaupun usia hampir menjangkau satu abad adalah kerana mengamalkan gaya hidup yang sihat, selain berpantang selepas melahirkan anak.

Kalau takat pantang selepas bersalin saja yang hang tau, tak payah la kata hang ikut amalan orang tua-tua dan perasan diri sendiri sihat.

DR IMELDA BALCHIN

DOKTOR PERBIDANAN DAN PAKAR SAKIT PUAN

"Zaman dulu, nenek pergi sekolah berjalan kaki, hang tak tau jalan kaki, hang tau naik kereta saja. Hang tau tak apa dia kecergasan?

"Zaman dulu, bila nenek sampai sekolah tak guna duit poket beli jajan, nenek tak beli kerepek-kerepek berproses tinggi kandungan garam macam hang, sebab tak dak pun jual benda mengarut-ngarut kat kedai zaman dulu.

"Zaman dulu selepas sekolah, nenek dan kawan-kawan main melompat atas sebelah kaki sambil kejar-kejar orang lain, depa tak dak TV, tak dak komputer, tak dak Ipad. Hang main Ipad, tengok TV saja tau. Tak tau apa dia kecergasan diri," tulisnya lagi.

Pendek kata, menurut Dr Imelda, setiap aktiviti termasuk melakukan kerja rumah seperti memasak dan membasuh kain adalah melibatkan aktiviti fizikal, justeru ramai wanita zaman dahulu kekal cergas.



Berbengkung merupakan salah satu amalan berpantang yang sering diamalkan para wanita selepas bersalin bagi mendapatkan kembali bentuk tubuh asal. Gambar hiasan

Begitu juga dengan amalan pemakanan yang mana wanita pada zaman dahulu lebih sihat kerana tidak terdedah dengan makanan yang diproses, mempunyai kandungan gula yang tinggi dan sebagainya.

"Hang ingat nenek hang sihat sampai umur 90 pasai (pasal) amalan berpantang 44 hari selepas bersalin ka?

"Dr Imelda suruh regular exercise tapi hang tak mau buat. Dr Imelda suruh makan makanan sihat tapi hang nak makan ayam goreng segera.

"Dr Imelda suruh makan sayur-sayuran dan buah-buahan semula jadi berkhasiat tapi hang nak telan suplimen saja.

"Dr Imelda suruh minum ayaq kosong tapi hang nak minum ayaq (air) kordial penuh gula, ayaq teh boba-boba penuh gula, ayaq kopi campuran manih (manis)," tulisnya lagi.



Para doktor lebih menyarankan para ibu yang sedang berpantang agar mengamalkan pemakanan yang berkhasiat.

Tambah doktor ini lagi, mereka yang kononnya berpegang teguh dengan amalan berpantang nenek moyang ini juga tidak terkecuali membeli produk 'mengarut' yang boleh memberikan kesan sampingan kepada tubuh badan.

"Tok nenek moyang hang tak telan pun berbagai-bagai suplimen sampai membebankan organ dalam badan.

"Hang ikut petua orang zaman dulu konon.

"Kalau takat pantang selepas bersalin saja yang hang tau, tak payah la kata hang ikut amalan orang tua-tua dan perasan diri sendiri sihat. Bod** piang," tulisnya lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih 5,800 shares selain turut dibanjiri ribuan komen netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Dr Imelda, pantang, bersalin, nenek moyang

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan