USIANYA baru mencecah sembilan tahun, namun lukisan 'doodle' karya kreativitinya begitu menakjubkan! Kanak-kanak cilik ini menjadi perhatian ramai selepas bapanya memuat naik lukisan doodle pada kereta yang dihasilkannya, di laman Facebook miliknya dan Facebook Doodle Malaysia. "Ni hasil untuk 45 minit... biar kering betul-betul dulu. Alhamdulillah tak hujan... cantik dah kereta Umi," demikian kapsyen pada posting tersebut yang sehingga kini meraih 1,700 shares. ARTIKEL BERKAITAN: “Kebanyakan soalan yang keluar dari mulutnya tak mampu kami jawab” - Ibu kanak-kanak ‘genius’ kongsi bagaimana IQ tinggi anaknya dikesan pakar di Britain ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terkejut! Tak pernah jumpa kanvas, anak usia 2 tahun setengah pandai melukis ‘sekelip mata’ Netizen bukan sahaja melahirkan rasa kagum dengan lukisan doodle kanak-kanak tersebut, malah memuji ibu bapanya yang tidak kisah anak mereka 'mengabadikan' karya pada kereta. Menurut Ahmad Farid Ashraf, anak perempuannya yang bernama Ainnur Sofea sememangnya gemar melukis sejak berusia tiga tahun dan sering mengasah bakatnya dalam 'sketch book' yang dijadikan teman setia di mana sahaja. Bercerita mengenai lukisan doodle pada kereta, Ahmad Farid berkata dia sendiri yang mengajak anaknya itu melukis pada kenderaan berkenaan beberapa hari lalu. Sofea tekun melukis doodle pada kereta bapanya. "Sebenarnya sebelum itu, kereta tersebut dilanggar di bahagian bumper oleh sebuah kereta lain sehingga tertanggal cat. Ia juga merupakan kereta kedua kami, pendek kata ia kereta 'basahan'. "Nak cat semula, mahal... jadi saya ajak Sofea melukis doodle. Dia curahkan karya yang terlintas di fikirannya namun dengan pemantauan saya," ujar juruteknik komputer berusia 37 tahun ini. Bercerita lebih lanjut mengenai anak keduanya itu, Ahmad Farid berkata berkemungkinan bakat tersebut diwarisi daripadanya yang merupakan seorang pelukis sambilan. "Sejak kecil lagi Sofea selalu ikut saya kalau ada 'job' lukis mural. Dari situ dia perhati dan mula lukis di dinding. Kalau lukis di dinding, kami tak boleh simpan... jadi saya belikannya 'sketch book'. Sofea yang mewarisi bakat bapanya sudah mula melukis seawal usia tiga tahun. "Bila selalu melukis, boleh lihat perkembangan 'stroke' lukisannya yang semakin hari semakin kemas. Malah ada kawan-kawannya minta upah melukis dan dia jual RM1 sekeping. Saya minta dia jual 10 sen saja. "Kalau pergi ke mana-mana, misalnya kedai makan atau bercuti pun, dia akan bawa sketch book. Saya dan isteri dah tak dedahkan anak dengan telefon bimbit... takut nanti mereka 'melekat'. Sejak viral beberapa hari lalu, ramai yang mesej minta Sofea buat doodle di kereta mereka juga. AHMAD FARID ASHRAF BAPA "Sofea ada gajet seperti iPad dan kamera digital, tapi bukan untuk main game atau tengok kartun... dia sebaliknya guna untuk minat dan aktivitinya," katanya yang kini menetap di Nibong Tebal, Pulau Pinang. Tidak menyangka perkongsiannya tular, Ahmad Farid berkata dia dan isteri menganggap perkara tersebut sebagai rezeki buat anak mereka. "Alhamdulillah... sejak viral beberapa hari lalu, ramai yang mesej minta Sofea buat doodle di kereta mereka juga. Tapi memandangkan sekarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin kena tunggu sedikit masa lagi. Ahmad Farid dan isterinya memberi sokongan padu dalam apa jua bidang yang diminati anak mereka. "Ada juga yang mahu Sofea lukis doodle pada produk mereka. Syukur sangat kerana ramai yang hargai bakat anak kami. "Saya dan isteri langsung tak halang minat Sofea kalau dia mahu teruskan. Sofea minat melukis dan dalam masa yang sama nak jadi veterinar kerana sangat sayangkan haiwan. Kami sokong apa jua minat dia. "Sebagai ibu bapa, kita jangan sekat minat anak-anak. Sokong dan dalam masa yang sama guide mereka," katanya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!