suria

“Saya terduduk di liang lahad... selamat berehat ibu” - Dah urus beratus jenazah pesakit Covid-19, lelaki ini tak sangka salah seorangnya emak sendiri!

Abdul Razak tidak dapat menggambarkan perasaan sedihnya kerana salah seorang daripada jenazah yang diuruskan merupakan ibu sendiri.

DUA minggu menjadi sebahagian daripada team pengurusan jenazah Covid-19 daerah Petaling, siapa sangka dalam ratusan jenazah yang diuruskan, salah seorangnya adalah ibu kandung sendiri.

Demikianlah pengalaman paling menyedihkan dan tidak dilupakan seumur hidupnya sebagaimana yang dikongsikan Abdul Razak Nordin.

"Selaku petugas pengurusan jenazah Covid-19 selalunya aku menguruskan jenazah orang lain. Hari ini serba tak kena buat aku. Aku menguruskan jenazah mak aku. Ya, mak aku sendiri," tulisnya di Twitter yang sehingga kini meraih lebih 60,000 retweet selain dibanjiri dengan ucapan takziah daripada warganet.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Derita’ ibu Covid-19! Tiada ciuman, belaian... jururawat di wad ICU kongsi momen betapa sedihnya pesakit terpisah dengan bayi selepas bersalin

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah berenggang, kuarantin pun sekali... anak reda ibu meninggal hanya beberapa jam selepas mereka berpisah, kini bapa pula positif Covid-19

Berkongsi cerita dengan mStar, Abdul Razak yang merupakan kakitangan di Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Petaling berkata, pada mulanya arwah ibunya, Patimah Ibrahim, 68, dimasukkan ke hospital kerana kencing manis.

"Arwah ibu memang dah lama menderita kencing manis. Sepanjang ibu sakit, ayah, saya dan adik beradik lain menjaganya bergilir-gilir kerana ibu saya 'bedridden' (terlantar) dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

"Pada 27 Julai, ibu dimasukkan ke hospital dan selepas kira-kira sembilan hari, doktor beritahu ibu boleh pulang. Saya tak dapat ziarah ibu kerana saya terlibat dengan pengurusan jenazah Covid-19.

"Nak dijadikan cerita, pada 8 Ogos, kakak ipar beritahu ibu sudah tidak bernafas dan segera dibawa ke hospital. Doktor sahkan ibu meninggal dunia sewaktu di rumah lagi. Sewaktu urusan di hospital, sekitar 4 pagi baru tahu status ibu yang disahkan positif Covid-19.

"Kami sekeluarga tak jangka langsung arwah ibu positif Covid-19 dan tak pasti dari mana jangkitan berkenaan. Namun kami reda dengan suratan ini," ujar Abdul Razak yang sudah lapan tahun berkhidmat di Paid Petaling.

Tambahnya, kesemua 16 ahli keluarganya kemudian melakukan ujian calitan (swab) di mana ayah dan abang sulungnya kemudian turut didapati positif Covid-19.

ibu baru 1

Abdul Razak di sisi pusara ibunya yang disemadikan di Tanah Perkbuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

"Alhamdulillah, saya negatif. Cantik aturan Allah... kalau saya positif, saya tak mungkin dapat uruskan jenazah ibu. Sayalah wakil kepada adik beradik lain kerana mereka semua perlu dikuarantin. Saya diberi amanah oleh abang-abang dan kakak-kakak untuk uruskan ibu sehingga selesai.

"Saya terlibat dengan pengurusan jenazah ibu dari mula sehinggalah hantarnya ke destinasi akhir iaitu liang lahad. Malah saya sempat temani ibu di dalam van jenazah semasa dalam perjalanan dari hospital ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Bukan tak sebak ketika urus jenazah pesakit Covid-19 yang lain... cuma orang tak nampak sebab kami pakai PPE. Namun sangat berbeza rasanya apabila kali ini jenazahnya ibu sendiri.

"Saya terduduk selepas turunkan jenazah ke liang lahad. Saya sempat berbisik 'selepas ni tak boleh tengok, tak boleh jumpa, tak boleh jaga ibu lagi. Selamat berehat ibu'. Perasaannya tak boleh digambarkan," ceritanya lelaki berusia 34 tahun ini.

Saya terlibat dengan pengurusan jenazah ibu dari mula sehinggalah hantarnya ke destinasi akhir iaitu liang lahad.

ABDUL RAZAK NORDIN

Bagaimanapun, Abdul Razak yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik berasa lega dan bersyukur kerana dapat menunaikan impian arwah ibu yang mahu anaknya menguruskan jenazahnya.

"Di akhir-akhir hayatnya, ibu selalu beritahu masanya dah tak lama. Ayah juga kata, ibu memang ada tunjukkan kelainan apabila selalu sebut dua nama ketika dia sakit iaitu mak dan ayahnya.

"Ayah juga selalu pesan, selalulah baca surah Yaasin untuk ibu," ujarnya dalam nada sebak.

ibu baru 2

Abdul Razak tidak dapat menahan sebak sepanjang urusan pengebumian arwah ibunya.

Tidak menyangka perkongsiannya di Twitter menjadi tular, Abdul Razak berkata dia sekadar berkongsi kisah dan pengalaman dirinya untuk sama-sama diambil iktibar oleh orang lain.

"Walaupun tak boleh nak berjumpa ibu bapa lebih-lebih lagi sekarang, jangan lupa bertanya khabar mereka. Sekarang ni teknologi pun dah makin canggih. Boleh buat video call untuk tengok wajah masing-masing.

"Ungkaplah kata-kata kasih sayang dan menyenangkan ketika bercakap dengan mereka. Nanti bila mereka dah tak ada, tak boleh dah nak telefon atau bercakap. Jadi manfaatkan masa bersama mereka selagi masih ada peluang," ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain