suria

Anak sanggup bayar kereta mewah, menginap tiga buah hotel 5 bintang sepanjang bercuti di Langkawi... percutian sweet dengan ibu tercapai!

Amir Moktar dan ibu (gambar kecil) menikmati percutian di Pulau Langkawi.

PERKONGSIAN video seorang pemuda di media sosial, mendakwa dirinya menggunakan perkhidmatan e-hailing dengan kereta mewah menggemparkan ramai.

Walaupun caj sebanyak RM300 bagi perjalanan sehala sejauh 15 kilometer itu dikatakan mahal, namun layanan VVIP yang diberikan kepadanya dan ibu meraih pujian.

“Bagus bang, jangan disia-siakan. RM300 boleh diganti, masa kita dengan mak tak boleh diganti,” komen seorang netizen menerusi perkongsian tersebut di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak buat kejutan bawa mak ke Pulau Tioman, hadiah rantai emas undang drama air mata - "Apa yang saya buat ni tak cukup"

ARTIKEL BERKAITAN: Simpan rahsia 6 bulan, akhirnya 2 jam sebelum 'naik belon' ke Sarawak ibu terima kejutan - "Dari pilot hingga tukang masak, semua mak canang"

Pemuda itu, Mohd Amiruddin Ahmad Moktar berkata, ia merupakan antara pengalaman manisnya bersama ibu yang berusia 66 tahun ketika bercuti di Pulau Langkawi, baru-baru ini.

Dia bagaimanapun menjelaskan bahawa ia bukan kenderaan e-hailing seperti didakwa, sebaliknya ia adalah servis penghantaran yang ditawarkan oleh sebuah hotel lima bintang.

"Bukan Grab, sebenarnya kereta BMW yang merupakan servis kereta dari sebuah hotel tempat saya menginap. Tak ada perumahan atau bandar terdekat dari hotel ni.

"Jauh nak datang ke hotel ni. Dari lapangan terbang je hampir 30 kilometer. RM300 tu caj pengangkutan hotel untuk hantar saya dan mak ke hotel lain pula," katanya kepada mStar.

bercuti dengan mak 4

Kunjungan ke Langkawi turut meraikan hari ulang tahun ibu.

Lebih dikenali sebagai Amir Moktar, katanya, meskipun caj yang dikenakan tinggi, namun apa yang lebih penting adalah keselesaan ibunya yang menggunakan kerusi roda.

"Bila lagi nak rasa pengalaman naik kereta mewah dengan caj RM300 ke hotel lain di Pantai Cenang," katanya sambil menambah dia dan ibu menginap di tiga hotel bertaraf lima bintang sepanjang percutian selama beberapa hari di pulau pelancongan popular itu.

bercuti dengan mak 7

Ibu dibawa merasai percutian indah dan selesa.

Menurut bekas jurutera mekanikal dari Pendang, Kedah itu, percutian mewah itu antara lain untuk membawa ibunya yang menyambut hari ulang tahun pada Mei lalu untuk beristirehat.

"Saya dan mak menetap di Damansara, Selangor. Masa birthday mak tu, rentas negeri tidak dibenarkan. Sekarang dah boleh, itu yang saya bawa mak bercuti di Langkawi.

"Sambil saya bekerja secara online macam kerja dari rumah, mak juga boleh berehat untuk menenangkan fikiran," ujar anak bongsu daripada empat beradik itu.

bercuti dengan mak 5

Percutian bersama ibu merupakan kenangan terindah Amir Moktar.

Amir Moktar yang merupakan ejen takaful berkata, kebanyakan masanya bersama ibu di Langkawi digunakan untuk bersantai di hotel-hotel dan bersiar-siar di tepi pantai.

"Saya suka travel. Jadi antara wishlist saya sejak beberapa tahun lalu adalah untuk menginap di sebuah hotel mewah tu yang jauh dari bandar di Langkawi. Dalam hutan, siap ada private beach.

Kalau sebelum ni mak tak berkesempatan untuk bercuti mewah, sekarang saya nak bagi mak rasa apa yang saya rasa walaupun mak seorang yang simple

MOHD AMIRUDDIN AHMAD MOKTAR

"Memang saya nak tunaikan wishlist sendiri dengan bercuti bersama mak. Saya dah travel banyak tempat, ke luar negara sana sini.

"Kalau sebelum ni mak tak berkesempatan untuk bercuti mewah, sekarang saya nak bagi mak rasa apa yang saya rasa walaupun mak seorang yang simple," ujarnya sambil menambah ibunya bergelar ibu tunggal sejak kematian bapanya pada 2011.

bercuti dengan mak 6

Pengalaman mengerjakan umrah bersama ibu dan kakak.

Amir Moktar berkata, ibunya yang mempunyai tujuh cucu itu disifatkan sebagai seorang yang begitu penyayang dan sentiasa mengambil berat terhadap anak-anak.

"Dalam keluarga, saya paling rapat dengan mak. Jadi, saya berusaha untuk melakukan yang sehabis baik untuk menggembirakan mak seperti membawanya berjalan-jalan.

"Sebelum ini saya pernah bawa ibu menunaikan umrah berdua pada 2017 dan bertiga bersama kakak pada 2018. Jika situasi Covid-19 bertambah baik, insyaAllah saya bercadang nak bawa mak sekali lagi mengerjakan umrah pada tahun depan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain