suria

Anak sayu, lebih 2 tahun bapa enggan ke mana-mana sebab nak ziarah kubur ibu setiap hari - “Dah tak naik Honda City sejak mama meninggal”

Foto kiri bapa Dr Intan menziarahi pusara isterinya, foto kanan bapa Dr Intan bersama arwah isteri.

CINTA hingga ke hujung nyawa.

Begitulah kisah seorang lelaki warga emas yang tidak jemu malah tetap setia menziarahi pusara isterinya.

Dia enggan ke mana-mana atau berjauhan dari rumah kerana mahu melakukan ziarah yang kini menjadi rutin dalam kehidupannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 tahun meninggal, suami setiap hari ziarah pusara isterinya, beri 'makanan' 3 kali sehari untuk balas jasa

ARTIKEL BERKAITAN: Ziarah pusara suami, isteri tergamam anak tanya soalan 'ikhlas dari hati'... jawab sambil menangis undang sebak

Salah seorang anaknya, Dr Intan Farhana Zainudin memberitahu, bapanya berusia 66 tahun, manakala ibunya meninggal dunia ketika usia 60 tahun pada Julai 2019 kerana jangkitan paru-paru.

Wanita berusia 35 tahun itu berkata, sejak pemergian ibu, bapanya yang dipanggil abah tidak pernah jemu menziarahi pusara arwah dekat kampungnya di Kuala Kangsar, Perak.

"Biasanya abah akan pergi ke kubur mama (panggilan arwah ibu) pada waktu pagi. Kalau hujan pagi, abah akan pergi pada sebelah petang.

"Tapi kalau hujan lebat atau hujan sepanjang hari, abah tetap redah juga pandu kereta ke tanah perkuburan kira-kira 15 minit dari rumah. Dia akan duduk dan baca surah Yasin dalam kereta, sekurang-kurangnya dapat tengok kubur mama dari jauh," katanya kepada mStar.

abah ziarah kubur 3

Bapa Dr Intan lebih selesa tinggal di rumahnya di Kuala Kangsar.

Dr Intan berkata, apa yang dilakukan bapanya yang merupakan pesara kerajaan itu adalah sebagai tanda kasih buat isteri yang dikahwininya dan hidup bahagia selama 35 tahun.

"Begitu banyak memori dan kenangan manis abah bersama mama. Sejak abah pencen, hari-harinya dihabiskan bersama mama, sentiasa bersama ke mana-mana.

"Jadi bila mama dah tak ada, hidup abah memang lain. Pergi ke kedai pun akan teringat mama sebab ada saja kenangan mereka berdua," ujarnya.

abah ziarah kubur 5

Kenangan... Dr Intan (kanan) bersama bapa (kiri) dan arwah ibu ketika bercuti di Indonesia.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, bapanya lebih selesa bersendirian di rumah meskipun anak-anak berkali-kali mengajak untuk tinggal bersama.

"Dah banyak kali pujuk, tapi abah ni tak kisah tinggal seorang. Dia tak selesa tinggal rumah dan pergi jauh sebab nanti dia tak dapat nak ziarah kubur arwah mama.

Abah pernah berpesan, jika suatu hari dia meninggal dunia, dia minta untuk dikebumi dekat kubur mama

DR INTAN FARHANA ZAINUDIN

"Alhamdulillah dia masih kuat dan sihat, boleh pandu kereta sendiri, dan setiap hari keluar untuk makan. Tapi sebagai anak, kami sudah tentu bimbangkan keadaan abah.

"Kami selalu lawat abah di kampung. Cuma masa larangan rentas negeri, kami banyak call tanya khabar," ujarnya yang berpengalaman dalam bidang perubatan selama sembilan tahun.

abah ziarah kubur 2

Dr Intan (duduk, kiri) bersama keluarga.

Dr Intan berkata, bapanya yang dikenali sebagai Che Din di kampung merupakan seorang yang tegas tetapi penyayang dan amat mementingkan pendidikan anak-anak.

Namun menurutnya, datuk kepada enam cucu itu menjadi lebih sensitif sejak pemergian isteri.

"Selepas mama pergi, abah cepat touching dan selalu terkenang arwah. Abah juga selalu kongsi cerita ketika bersama mama, terutama masa susah-susah bersama dulu.

"Cuma ada satu kereta Honda City di rumah abah tak naik sejak mama meninggal dunia, sebab kata abah kereta itulah abah selalu bawa mama ke mana-mana bersama.

"Kereta tu ada banyak kenangan bersama arwah. Tapi masih dijaga dan diselenggara dengan baik, malah anak-anak pun boleh guna dan abah guna kereta lain," katanya.

abah ziarah kubur 8

Bapa Dr Intan sering bersama arwah ibu.

Dr Intan berkata, bapanya memaklumkan arwah ibunya sukar untuk dicari ganti kerana kasih sayangnya yang tidak berbelah bahagi.

"Arwah mama begitu memahami abah, lemah lembut dan dapat melembutkan abah yang tegas. Abah pernah berpesan, jika suatu hari dia meninggal dunia, dia minta untuk dikebumikan dekat kubur mama," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain