suria

Bukan sekejap tapi 15 tahun kumpul pengalaman, Achik akhirnya berani jual kek buatan sendiri... tak menang tangan balas mesej lepas viral di Twitter

Hasil tangan kreatif Achik dalam menghasilkan variasi kek tiba-tiba mendapat perhatian ramai selepas ianya dikongsi di laman Twitter

PENGALAMAN bekerja selama 15 tahun dalam bidang pastri ternyata bukan satu tempoh yang singkat.

Selepas sekian lama mengabdikan diri dalam bidang itu, Rithauddeen Aziz, 35, mengakui dia sudah bersedia untuk mengorak perjalanan baharu dalam hidupnya.

Masih dalam bidang sama, namun dia yang mesra disapa Achik kini sudah tidak bekerja dengan mana-mana pihak, sebaliknya mengusahakan bisnes pembuatan kek di rumah sendiri sejak Oktober lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih kek, tinggalkan pesakit! Lelaki ini kagum dengan diri sendiri selepas lebih 6 tahun belajar di Rusia, tidak lagi bergelar doktor

ARTIKEL BERKAITAN: Berhenti kerja bank, jual brownies! Pemuda ini mampu buka kedai kek walau cuma belajar di YouTube, sekali pergi kelas asas - “Baju raya pun tak beli”

"Saya mula bekerja dalam bidang pastri sejak umur 20 tahun. Selepas 15 tahun kerja dengan orang, lompat sana lompat sini... sekarang saya tengok keadaan diri, saya baru yakin nak buat sendiri.

"Sewaktu kerja sebelum ini, saya juga ada ambil tempahan secara part time. Tapi ini kali pertama saya mengusahakan bisnes sendiri secara sepenuh masa. Lama saya ambil masa untuk kumpul pengalaman.

"Sejak berhenti kerja lebih sebulan lalu, saya terus buat kek di rumah. Alhamdulillah, setiap hari ada tempahan. Cuma sekarang suasananya berubah.

achik2

Posting oleh adiknya yang tular di Twitter.

"Sekarang kena fikir stok, kena banyak bahagikan masa untuk bisnes. Mungkin kelam-kabut sikit," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Menurut Achik, menguruskan bisnes kek bukanlah satu perkara mudah, namun dia perlu kreatif dalam mencorakkan perjalannya agar tidak terhenti separuh jalan.

Selain kek, Achik turut menghasilkan seleksi pencuci mulut sebagai variasi kepada produk makanan yang ditawarkan olehnya.

achik4

Antara kek yang dihasilkan Achik.

"Lumrah berniaga, memang ada kerisauan sekiranya tak laku. Tapi saya kena fikir cara lain. Kek bukannya orang makan setiap hari.

"Jadi saya hasilkan kepelbagaian produk makanan seperti kek cawan, brownies dan sebagainya yang sesuai untuk dimakan setiap hari," ujar Achik.

InsyaAllah kalau ada rezeki, saya nak buka kedai sendiri suatu hari nanti.

ACHIK

Bercerita mengenai perjalanan kerjayanya, Achik yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan mendedahkan dia sebenarnya tidak suka akan bidang pembuatan kek dan pastri.

"Bidang kek dan pastri bukan minat saya. Dulu ayah merupakan tukang masak. Ayah merupakan pesara tentera, dalam tentera dia yang memasak. Selepas bersara, dia buka kedai makan dan ada juga uruskan kantin.

"Sejak itu saya mula minat memasak dan tahu sikit-sikit bab masakan. Selepas habis sekolah, saya sekadar cuba ambil bidang pastri sebab tak tahu apa-apa dalam bidang itu, saya nak terokai sendiri.

"Tak sangka, dalam setengah tahun di Insitut Kemahiran Belia Negara (IKBN), saya dah jatuh cinta terhadap bidang itu. Minat datang dengan sendiri ketika belajar," imbas anak kelima daripada tujuh beradik itu.

achik6

Achik hanya menerima tempahan untuk warga Lembah Klang.

Dalam pada itu, hasil tangan kreatif Achik dalam menghasilkan variasi kek tiba-tiba mendapat perhatian ramai selepas ianya dikongsi di laman Twitter oleh adiknya pada Rabu lalu.

Penangan posting tular itu turut menyebabkan Achik tak menang tangan menjawab mesej pelanggan baharu yang disifatkan sebagai rezeki tidak disangka-sangka untuknya.

"Adik ada maklumkan dia kongsi mengenai kek saya di Twitter. Tiba-tiba saya pelik banyak mesej masuk. Rupa-rupanya dah viral. Memang tak terlayan mesej, berpuluh-puluh mesej masuk.

"Pada hari Khamis saja, dah ada enam tempahan kek. Lepas tu ramai juga yang mesej tanya harga dan cari tarikh untuk buat tempahan. Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki ini.

"InsyaAllah kalau ada rezeki, saya nak buka kedai sendiri suatu hari nanti," ujarnya yang menerima tempahan kek di sekitar Lembah Klang.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain