suria

Wanita ini sanggup tahan nafas, habiskan puluhan ribu ringgit demi jadi ‘ikan’... percaya duyung masih sembunyi di laut

Sabrina berpandangan tidak mustahil duyung benar-benar wujud memandangkan banyak lagi kawasan laut yang belum diterokai manusia.

BAGAIKAN di alam fantasi.

Mungkin itulah yang digambarkan oleh penonton setiap kali menyaksikan persembahan duyung oleh wanita ini.

Menurut Sabrina Lim, 31, dia sudah lapan tahun menjadi penghibur, namun minatnya itu sebenarnya sudah bercambah sejak zaman remaja lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Gaji tinggi risiko pun tinggi” - Jurukimpal dalam air wanita menangis, berenang di lautan gelap

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak nangis tapi saya tahan” - Dua sahabat rela berlapar, menggigil bermalam tepi sungai... tak ‘redah’ kepala air walau tahu berenang

"Ketika habis sekolah, saya tengok dalam internet mengenai mat salih yang ada ekor duyung. Saya jadi tertanya-tanya, bila buat carian saya dapati ia ada dijual di Amerika Syarikat (AS).

"Saya maklumkan pada mak ayah untuk beli ekor duyung. Tapi harganya mahal. Jadi, saya teruskan hidup dengan bekerja sebagai guru tuisyen dan tadika.

"Dua tahun saya simpan duit. Akhirnya saya dapat beli set ekor duyung pada harga kira-kira RM30,000. Perasaan sangat teruja apabila ia sampai waktu itu," ujarnya yang mesra disapa Sabrina.

Menurut wanita dari Shah Alam, Selangor itu, dia kini memiliki 40 set ekor duyung dalam koleksi peribadinya.

sab 3

Sabrina sudah lapan tahun bergelar sebagai mermaid performer.

Namun katanya, jumlah sebenar tidak terkira kerana dia turut menyimpan banyak stok untuk dijual kepada orang ramai.

"Sekarang ada banyak dah. Sebab saya pun dah mula jual ekor duyung. Ada yang saya design sendiri. Ada pelbagai warna, ada banyak jenis juga. Antaranya jenis kain dan silikon.

Saya guna teknik free diving bila berenang. Kalau pakai cermin mata menyelam, nanti nampak tak natural pula.

SABRINA

"Tapi kalau yang personal, yang saya guna untuk buat show, ada dalam 40 pasang ekor duyung berbeza-beza warna. Selain buat persembahan, saya juga mengajar kelas renang," ujarnya.

Sepanjang lapan tahun membina kerjaya dalam bidang itu, Sabrina bukan sahaja dijemput membuat persembahan di acara-acara peribadi, malah pernah membuat persembahan di Underwater World Langkawi.

sab1

Antara set ekor duyung miliknya.

Bercerita mengenai pengalaman membuat persembahan, Sabrina mengakui ia bukanlah satu perkara yang mudah, namun tidak mustahil untuk dilakukan dengan latihan berterusan.

"Saya guna teknik free diving bila berenang. Kalau pakai cermin mata menyelam, nanti nampak tak natural pula. Dalam air kena tenang. Tapi pandangannya samar-samar, saya pernah terlanggar penyu dan belut. Jadi, ia agak bahaya.

"Paling lama saya boleh tahan nafas pun seminit lebih. Ia tak mudah untuk dilakukan. Tapi macam mana sekali pun, setiap hari kena buat latihan. Bila jumpa penonton yang teruja lihat saya, memang sangat gembira, khususnya kanak-kanak dan anak istimewa," ujarnya lagi.

Menurut Sabrina, dia juga pernah berkecil hati kerana kerjayanya yang dipandang serong, namun menerimanya dengan hati terbuka sahaja.

sab 2

Sabrina turut berkongsi video dan foto menerusi TikTok.

"Ada juga yang pandang pelik sebab tengok cara pemakaian saya. Mereka cakap... dah jadi manusia, nak jadi ikan pula. Kalau betul-betul kena sumpah, baru tahu.

"Tipulah kalau tak ambil hati dan tak sedih. Kadang-kadang dapat komen dan mesej yang menyakitkan hati. Tapi saya terima saja," ujarnya lagi.

Dalam temubual sama, mStar sempat bertanya kepada Sabrina sekiranya dia percaya akan kewujudan duyung.

sab 4

Sabrina anggun menggayakan kostum duyung miliknya.

Jelas Sabrina, tidak mustahil sekiranya makhluk itu benar-benar wujud memandangkan banyak lagi kawasan laut yang belum diterokai manusia.

"Saya rasa ada. Sebab saya rasa, 80 peratus laut masih belum diterokai manusia. Ada la, cuma dia pun nak sembunyi daripada manusia," ujarnya berseloroh.

Untuk rekod, Sabrina juga banyak berkongsi mengenai kerjayanya sebagai mermaid performer menerusi Instagram dan platform video TikTok," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain