suria

Selepas 2 hari mencari, wanita berjaya jumpa anjing makan batu dan najis sendiri! Sanggup terjun parit, gadai emas demi haiwan

Anjing yang memakan batu dijumpai Sarifa.

BERLAPAR sehingga terpaksa makan batu dan najis sendiri.

Begitulah nasib sekumpulan anjing jalanan yang kelaparan dan terdesak untuk terus hidup.

ARTIKEL BERKAITAN: Anjing, kucing jalanan makan 'mewah' kerana lelaki ini berhutang - "Saya makan nasi dengan telur goreng cicah kicap dah cukup"

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu takut, sekarang manja... telatah 3 anjing hilangkan penat bekerja, anak tauke getah akui haiwan peliharaan sanggup mati demi tuannya

Justeru, ehsan dan belas kasihan terhadap haiwan perlu ada dalam diri setiap manusia.

Sarifa Redzuan berkongsi posting bagaimana dia cuba menyelamatkan seekor ibu anjing terbiar yang masih memiliki anak-anak kecil sedang kebuluran kerana tiada sebarang sumber makanan.

Menurutnya yang mesra disapa Sarifa, pada awalnya anjing tersebut dijumpai oleh seorang jiran yang melihat haiwan tersebut berlegar di hujung kawasan di kampung mereka.



Antara anjing yang selalu datang ke rumahnya untuk dapatkan makanan.

“Dua hari lepas ada pakcik bagitahu dia nampak ada ibu anjing dengan anak-anaknya dekat kawasan jalan hujung kampung.

“Dia cakap ibu anjing tu sedang kelaparan dan sangat kurus sampai nampak tulang. Mereka haiwan terbiar jadi tak ada yang nak berikan makanan.

“Jadi saya ambil keputusan nak pergi cari ibu anjing dan anak-anaknya sebab takut kena langgar. Banyak kali juga saya cuba cari mereka tapi tak nampak kelibat langsung. Saya risau juga sebab situ kawasan hutan, ada kemungkinan juga dimakan ular atau biawak,” jelasnya.

Setelah seharian mencari tetapi wanita ini gagal menjumpainya. Sarifa bagaimanapun meneruskan misi mencari dan akhirnya menjumpai anjing dan anak-anaknya itu pada keesokan hari.

Jelasnya yang sudah lama melakukan kerja-kerja membantu haiwan ini, haiwan tersebut ditemui dalam keadaan begitu menyedihkan kerana mereka dikatakan hanya makan batu dan najis sendiri.

“Saya cari lagi petang esoknya tu baru nampak anjing tu. 'Dia' dan beberapa ekor anjing lain tengah makan batu. Sedih sangat tengok keadaan mereka. Memang banyak dah kes anjing jalanan sanggup makan batu dan tahi sendiri sebab nak isi perut yang lapar.

“Sebelum ni, pernah juga saya selamatkan anjing dengan hantar ke veterinar untuk scan, memang ada batu dalam perut mereka. Bila tengok keadaan macam ni sekali lagi buatkan saya lagi tekad nak teruskan bantu.

"Ada juga kes sebelum ni buang anak kucing bungkus dalam guni. Saya sanggup terjun dalam parit nak ambil guni tu. Bila buka tengok dekat dalam ada empat ekor anak kucing. Mungkin memang mereka nak bunuh kucing-kucing ni kot,” katanya.

Tangkap layar posting Safira yang menjadi tular.

Bercerita lanjut tentang anjing-anjng berkenaan, dia segera mencari ikhtiar membantu nasib malang haiwan tersebut.

Tambahnya lagi, dia hanya mampu menyediakan makanan sahaja untuk anjing-anjing tersebut kerana sudah melebihi had kemampuannya.

Wanita yang menetap di Pualu Pinang ini menjelaskan bahawa di rumahnya sendiri sudah terdapat banyak kucing dan anjing terbiar yang diselamatkan dan perlu ditanggung serta menelan kos agak besar.

“Lepas jumpa tu saya letak makanan dengan campuran vitamin bagi mereka makan. Saya letak vitamin tu sebab mereka ada masalah kulit yang normal bagi haiwan jalanan lain. Saya tidak pasti jumlah sebenar anak-anak anjing ni sebab mereka takut bila tengok saya jadi mereka semua lari masuk dalam semak.

“Jadi sebelum saya balik, saya tinggalkan makanan lebih sikut untuk anak-anak anjing tu makan. Kesian pula takut mereka kelaparan lagi nanti.

“Saya pun bagi makan ikut tahap kemampuan saya saja. Bukan tak nak ambil bawa balik jaga di rumah tapi saya sendiri dah ada banyak anjing dan kucing di rumah.

"Untuk sebulan saja saya habiskan lebih RM3,000 sehingga RM4,000 untuk makanan tidak termasuk vitamin dan ubat-ubatan sebab kos makin naik. Saya pernah gadai emas sebab ada kes haiwan yang dibawa ke veterinar memakan kos tinggi," jelasnya.

Menurut Sarifa, kini dia mempunyai lebih 20 ekor anjing dan kucing yang akan datang untuk makan di rumahnya termasuk juga 30 hingga 40 ekor haiwan yang diberi makan di luar seperti kawasan kampung dan kilang-kilang di Seberang Perai Selatan.

Katanya, dia tidak mengharapkan pujian mahupun balasan dalam melakukan kerja-kerja membantu haiwan namun tetap mengharapkan semua orang boleh menitipkan doa agar dia terus diberikan kesihatan dan dilimpahi rezeki.

“Saya tak ada buka sebarang tabung tapi kalau ada yang nak menderma saya terima. Saya tanggung kos sendiri saja tapi ada juga hamba Allah yang lain sudi beri bantuan dalam RM50 sehingga RM100 untuk anak-anak bulus ni.

“Saya harap akan ada kesedaran dalam diri semua yang baca posting saya dan sudi membantu bagi makan haiwan-haiwan bernasib malang ini,” ujar Sarifa.

Orang ramai yang ingin turut sama membantu usaha dalam menyelamtkan nasib haiwan-haiwan terbiar ini boleh menghubungi wanita ini di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain