VIDEO memaparkan seorang pemuda sedang berdoa di sisi sebuah pusara meraih perhatian ramai di media sosial. Menurut Syazwan Uzri, 24, dia memuat naik video itu kerana mahu mendedikasikan kejayaannya buat Allahyarham bapanya, Samsul Uzri Abdullah yang meninggal dunia 15 tahun lalu. "Abah!! Adik dah berjaya habiskan degree dan InsyaAllah akan konvo November 2022. Adik kan dah janji dengan abah akan buat ibu dengan abah bangga dengan adik. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Kan best kalau abah dan ibu ada masa hari adik konvo," tulisnya pada kapsyen video yang meraih lebih 153,000 tontonan itu. Cerita Syazwan yang merupakan lepasan bidang Kewangan dan Perbankan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, dia dibesarkan oleh ibunya, Rahimah Draman, 51, selepas kematian bapanya. Selain ibunya, kakak Syazwan yang juga seorang tentera akan hadir bagi meraikan kejayaannya dalam majlis konvokesyen yang dijadual berlangsung di kampus UUM, Sintok, Kedah pada 9 November depan. Syazwan dibesarkan oleh ibunya selepas dia kehilangan bapa 15 tahun lalu. "Video di kubur itu dirakam ketika sambutan raya. Cuma saya baru upload sebab teringat arwah abah menjelang majlis konvo. Tak sangka viral. Saya pun terharu baca komen netizen yang bagi semangat pada saya. "Saya nak hadiahkan kejayaan ini buat arwah abah. Saya memang ingat pesanan abah sampai ke hari ini. Dia minta saya belajar pandai-pandai sebab abah dulu tak belajar tinggi. "Abah tak nak saya jadi macam dia. Dia memang nak tengok saya berjaya," ujar anak bongsu daripada dua beradik itu. Saya nak hadiahkan kejayaan ini buat abah... arwah minta saya belajar pandai-pandai sebab dia tak belajar tinggi. SYAZWAN UZRI Bercerita lanjut, Syazwan berkata dia melalui pengalaman membesar yang sukar kerana mendakwa arwah meninggal dunia akibat disihir, sekali gus meninggalkan memori duka buat mereka sekeluarga. "Arwah abah meninggal dunia 15 tahun lepas, ketika saya berumur 8 tahun. Abah dulu seorang kontraktor, meninggal sebab buatan orang. Biasalah ada hasad dengki. "Saya masih ingat apa yang berlaku, sebab banyak kejadian pelik. Kalau tengok filem Munafiq, sinopsinya agak sama. Abah terlantar di katil, pada satu malam dia bangun sendiri dan melekat kat dinding. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa 12 anak berubah selepas isteri meninggal! Teman si bongsu live jual baju di TikTok dah jadi rutin - “Dulu semua ayah cakap melalui mak” ARTIKEL BERKAITAN: Bapa baru meninggal, 3 beradik sempat buat video trend TikTok sebelah jenazah - “Aku tak boleh brain...” "Kami pun tak tahu nak buat apa, hanya azan dan mengaji. Kami juga ada panggil ustaz. Masa kecil saya takut sangat, sebab tu agak susah nak lupa. "Kehidupan kami agak senang sebelum abah sakit. Selepas abah tiada, kami tiba-tiba jatuh. Rumah kena jual, kereta kena lelong," imbasnya sebak. Biarpun melalui fasa kehidupan yang sukar selepas kematian bapanya, Syazwan tetap memberi fokus terhadap akademik sehingga berjaya ke menara gading. Syazwan merupakan pelajar bidang Kewangan dan Perbankan dari Universiti Utara Malaysia. Dalam pada itu, Syazwan turut menitipkan pesan buat anak yatim di luar sana agar terus cekal meneruskan kehidupan biarpun diuji hebat selepas kehilangan orang tersayang. "Apabila baca komen di TikTok, ada juga yang senasib dengan saya. Jadi kami saling faham bagaimana rasanya kehilangan ahli keluarga. "Saya juga nak jadikan video ini sebagai contoh, sebab ada anak-anak zaman sekarang yang tak peduli keluarga. Sepatutnya kita kena ingat keluarga sebelum buat apa-apa. Syazwan kini bekerja sebagai pegawai bank. "Berbakti sementara mereka masih ada. Jangan apabila dah tak ada baru nak menyesal. Yang kehilangan mak ayah, saya harap anda teruskan perjuangan. "Masa lalu tetap akan kita ingat, tapi kita boleh perbetulkan masa depan. Bina masa depan yang cerah supaya dapat beri gambaran pada orang bahawa kita tetap boleh berjaya walaupun dah tak ada mak ayah. "Tunjukkan yang kita hebat sebab guna kekuatan sendiri tanpa sokongan mak ayah yang dah meninggal untuk berjaya," ujarnya mengakhiri bicara. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI