suria

[V] “Mata dia sampai naik ke atas” - Ibu tak kuat, hampir rebah tengok anak penghidap tumor otak kena bius depan mata

Ibu ini kerap berkongsi perjalanan anaknya melawan penyakit tumor otak di TikTok.

KETIKA kanak-kanak seusianya riang bermain bersama rakan-rakan, Nur Naira Mikayla Muhammad Aizat, 7, terpaksa berjuang melawan tumor otak.

Menurut ibunya, Nur Hani Nabila Rejiha, 31, perubahan terhadap Naira mula disedari ketika anaknya berusia lima tahun.

Pada ketika itu Naira tidak lagi mampu memegang barang dengan baik serta berjalan secara betul.

Ketika dihubungi mStar, Hani berkata anaknya juga kerap mengadu sakit di bahagian kaki dan kepala hingga dia dan suami akhirnya membawa Naira ke klinik berdekatan pada 10 November 2020 bagi membuat pemeriksaan.

“Masa anak saya masih kecil, saya dan suami perasan tangan kanan dia akan jadi bergegar dan barang dipegang selalu terjatuh. Kalau nak suap makan sendiri pun susah sebab menggigil.

“Apabila Naira berjalan pun nampak tak seimbang sebab dia macam nak terjatuh dan tersadung sesuatu.

"Jadi saya pun bawa dia berjumpa doktor dekat klinik berdekatan. Kemudian pihak klinik minta kami rujuk ke hospital," katanya kepada mStar.

Tambah Hani, hatinya remuk apabila pemeriksaan lanjut di hospital akhirnya menemukan sesuatu pada otak Naira.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terkejut tengok leher anak bengkak, kepala senget! Rupanya sel kanser merebak saraf tunjang... Doktor ramal umur tak panjang

ARTIKEL BERKAITAN: “Kali ni mak kalah” - Ibu sihat disahkan kanser tahap 4, anak sayu dengar rayuan tak mahu teruskan kemoterapi

“Setelah melakukan pemeriksaan CT Scan di sebuah hospital di Putrajaya, doktor mengesan sejenis ketumbuhan pada otak Naira bersaiz 4 sentimeter.

"Jadi kami diminta oleh doktor untuk buat rujukan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pula,” ujarnya.

Jelas doktor, saiz ketumbuhan dialami Naira boleh mengancam nyawanya kerana tumor tersebut hampir menekan bahagian saraf otak yang mengawal pernafasan.

Malah, Naira turut berdepan risiko kematian pada bila-bila masa kerana tumor tersebut semakin hari semakin membesar.

Khabar duka itu tentunya membuatkan hati seorang ibu hancur lebih-lebih lagi apabila mereka dimaklumkan berkemungkinan bakal kehilangan puteri kedua daripada empat adik beradik ini.

Naira dikesan menghidapi penyakit tumor otak ketika berusia lima tahun.

“Mula-mula tu kami tak percaya Naira ada tumor sebab dia nampak ceria. Memang kami terlalu sedih sebab takut kehilangan Naira. Satu famili terkejut bila dapat tahu kami berdepan risiko kehilangan Naira," imbasnya lagi.

Kata Hani lagi, dalam tempoh yang terlalu singkat Naira perlu menjalani pembedahan pertamanya.

“Hari pertama operation pada 19 November 2020, saya teman Naira masuk operation room.

Saya share journey naira dekat TikTok supaya parents lain lebih peka dengan perkembangan anak mereka.

NUR HANI NABILA REJIHA

IBU

“Saya tak kuat, hampir rebah masa tengok dia kena bius. Daripada sedar tengok dia meraung menjerit sakit... terus senyap. Mata dia sampai naik ke atas,” imbasnya.

Menurut Hani yang menetap di Bukit Changgang, Banting, Selangor, pembedahan itu mengambil masa kira-kira lapan jam.

Pembedahan itu menelan belanja sebanyak RM10,000.

Kini Naira sudah beransur pulih namun masih meneruskan rawatan susulan.

Hani (kanan) bersama ahli keluarganya.

Naira bakal melakukan ujian Magnetic Resonance Imaging (MRI) pada hujung Disember depan bagi melihat keadaan tumor.

Berikutan perkongsian video di TikTok, Hani menjelaskan bahawa dia hanya mahu mengabadikan perjalanan anaknya melawan penyakit ini sambil menyebarkan kesedaran terhadap orang ramai.

“Saya share journey naira dekat TikTok supaya parents lain lebih peka dengan perkembangan anak mereka. Ada budak yang tak tunjuk simptom teruk sampai parents tak sedar anak ada sakit serius sehingga boleh meragut nyawa mereka.

“Jangan ambil mudah... jadikan kisah Naira ni sebagai pengajaran. Kalau saya terlambat bawa dia pegi hospital memang saya akan hilang dia sebab enam bulan barulah kami sedar simptom tu.

“Tapi masa dekat hospital tu saya sedar saya patut bersyukur Allah uji sikit saja. Ada lagi ibu lain yang ada anak sakit berkaitan otak lagi teruk sakit berbanding Naira.

"Dugaan mereka lagi hebat daripada saya. Semoga anak saya sembuh dengan kadar segera dan tiada lagi masalah tumor ini," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain