BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Apatah lagi ketika hidup ini dirasakan begitu sukar, kita diberi ujian lain yang lebih hebat. Situasi inilah yang dilalui Emerlia Feronika, 23, yang mana perjalanan hidupnya sebagai pelajar univeristi penuh dengan rintangan dan cabaran. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Menerusi video yang tular, Emerlia kelihatan berjurai air mata semasa majlis konvokesyen di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) kerana terkenangkan arwah bapanya. "Ayah menghidap kencing manis, sebelum dia meninggal dunia banyak beri 'mesej' yang bila diingat kembali, saya boleh katakan sebagai petanda. ARTIKEL BERKAITAN: Kahwin umur 18 tahun... wanita pilih hidup susah bersama suami tak hirau dihina niaga pasar malam, berkat menabung kini tersenyum miliki kereta idaman ARTIKEL BERKAITAN: Gadis nyaris putus asa belajar ketika pandemik, surat dari UK beri sinar baharu - “Dapat emel tapi masa tu hati saya masih mati” "Antaranya ayah pernah beritahu yang dia risau kalau tak dapat tengok saya menamatkan pengajian. "Dan akhirnya, dia memang tak sempat tengok saya konvokesyen untuk degree ini," katanya ketika dihubungi mStar. Emerlia bersama ibu pada majlis konvokesyen. Menurut Emerlia, ujian pertamanya ialah keluarganya mengalami kesempitan kewangan selepas bapanya meninggal dunia. Lepasan Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan Teater itu mendakwa bapanya yang merupakan pesara tentera telah dipotong duit pencennya, sekali gus menyebabkan keluarganya berdepan isu kewangan. Kalau susah macam mana pun hidup, fikirkan family. Kita kena kuat untuk mereka. EMERLIA FERONIKA Dakwanya lagi, ibunya juga tidak mendapat manfaat pencen arwah bapanya. "Ibu dimaklumkan (tak dapat pencen) sebab dia berkahwin dengan ayah hanya selepas ayah dah tamat perkhidmatan. "Sedih, kami tiga beradik bersama mak hidup susah, nak makan apa? "Gaji ibu cuma RM1,200. Memang tak cukup nak tampung kami semua yang belajar ni," ujar Emerlia. Keluarga Emerlia yang menjadi tulang belakangnya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, rumah keluarga Emerlia dilelong oleh bank pula disebabkan arwah bapanya mempunyai tunggakan hutang yang belum dilunaskan. Selepas menyewa rumah lain, Emerlia memberitahu ibunya pula terjatuh sehingga menyebabkan tulang belakang pinggul retak, pada bulan yang sama. "Ibu bekerja untuk menyara keluarga. Bila ibu terlantar sakit, dah tak ada siapa lagi yang tinggal untuk cari rezeki sara keluarga kami," katanya. Emerlia menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan Teater Upsi. Menurut Emerlia lagi, ibunya terpaksa diberhentikan kerja selepas cuti sakit selama sebulan. "Jadi, saya jual spaghetti di kolej. Saya masak, kemudian pergi bilik ke bilik dan blok ke blok menjual. Saya juga menjual di luar kampus," kata Emerlia yang terpaksa mengikat perut untuk berjimat ketika belajar. Emerlia mengakui pada masa itu dia harus mengimbangi jadualnya sebagai pelajar dan tanggungjawabnya kepada keluarga. Keuntungan yang diperoleh dari hasil jualan itu diagihkannya kepada ibu dan adik-beradik lain, manakala selebihnya disimpan. Emerlia mengikut jejak langkah bapanya dengan menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes). Fasa ujian seterusnya adalah ketika pandemik Covid-19, yang mana pengajian Emerlia tergendala seketika dan dia pulang ke kampung di Kuantan, Pahang untuk berniaga sushi. Walaupun jualan laris pada mulanya, tetapi dia kemudian tidak dapat bertahan dengan persaingan sengit daripada peniaga lain yang turut menjual sushi di kawasan sekitar. "Saya nampak jualan saya merudum. Saya kena ikhtiar dengan cara lain, jadi saya minta izin ibu untuk cari kerja di Kuala Lumpur," ujarnya. Memulakan kerjaya sebagai pelakon tambahan. Ujian datang bertimpa-timpa, Emerlia mendakwa ditipu pula oleh majikan di Kuala Lumpur yang mengambil kesempatan ke atas mereka yang terdesak untuk mencari kerja. "Silap saya sebab tak buat research betul-betul tentang background company tu. Rupanya company tu memang scam," kata Emerlia. Tanpa disangka-disangka selepas itu, Emerlia menerima tawaran berlakon sebagai pelakon tambahan selepas menghadiri satu sesi uji bakat. "Saya berjumpa dengan producer, production manager, talent untuk penggambaran. Saya buat kenalan untuk kembangkan karier saya," katanya yang kini berlakon dalam beberapa drama. Emerlia memegang watak sampingan dalam drama televisyen. Emerlia mengakui kerjayanya dalam industri hiburan banyak membantu meringankan beban kewangan keluarganya dan kini dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa. "Saya bersyukur... saya tak boleh sampai ke tahap ni tanpa doa ibu. Saya buat semua ni pun untuk arwah ayah. "Nasihat saya kepada mereka di luar sana, kalau susah macam mana pun hidup, fikir keluarga, kita kena kuat untuk mereka," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI