suria

Kembali beroperasi, pemilik restoran nasi kukus ‘kepala tikus’ bersuara... premis sudah diperiksa, dapat 89 peratus ‘markah’ kebersihan

Restoran dikunjungi pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah untuk pemeriksaan kebersihan.

PENEMUAN kepala tikus dalam menu nasi kukus di sebuah restoran di Putatan, Sabah, baru-baru ini ternyata menggemparkan orang ramai.

Susulan video yang tular, pelbagai reaksi disuarakan netizen terutama mengenai isu kebersihan membabitkan restoran yang semakin banyak dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Di sebalik komen negatif serta kecaman ramai, seorang pekerja restoran berkenaan yang dikenali sebagai Syida memaklumkan bahawa premis tersebut beroperasi seperti biasa sejak Jumaat.

"Nasi kukus Putatan beroperasi macam biasa ya. Jangan risau, dijamin bersih. Baru saja makan tadi, sedap macam biasa," kongsinya dalam satu video yang dimuat naikdi aplikasi TikTok sekitar 20 jam lalu.

Sementara itu, menerusi laman Facebook, Syida turut berkongsi kenyataan pemilik restoran mengenai maklum balas berhubung status kebersihan premis.

"Pada 12 Januari 2023, terdapat hantaran WhatsApp yang viralkan berkaitan terdapat tikus di dalam nasi di Restoran Nasi Kukus * G*****, dan pada hari yang sama pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah datang ke premis restoran kami dan jalankan pemeriksaan keseluruhan premis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kembang tekak! Nasi kukus dah nak licin, baru perasan makan lauk tikus

"Hasil pemeriksaan, Pejabat Kesihatan memberi markah sebanyak 89 peratus terhadap tahap kebersihan kedai kami. Pemeriksaan juga tidak menjumpai kesan tikus atau kekotoran yang tidak elok di premis kami," dakwanya dalam kenyataan itu.

markah

Penilaian markah yang diperolehi premis berkenaan.

Bagaimanapun menurut pemilik, pihak penguatkuasa kesihatan menasihati pihaknya untuk menutup premis pada hari tersebut untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sekali lagi.

"Secara jujur pihak kami sentiasa amat menitikberatkan tahap kebersihan kedai, pemeriksaan Majlis Daerah Putatan dan Jabatan Kesihatan Negeri sebelum ini pun mendapati kedai kami dikategorikan bersih.

Nasi kukus Putatan beroperasi macam biasa ya. Jangan risau, dijamin bersih. Baru saja makan tadi, sedap macam biasa

SYIDAH

"Perkara ini masih dalam pemerhatian dan siasatan kami berkaitan isu sebenar apa yang terjadi, sekian terima kasih," tambah kenyataan itu lagi.

Hasil semakan mStar, belum ada kenyataan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah berhubung pemeriksaan di restoran tersebut

Terdahulu, tular satu video berdurasi 11 saat yang dimuat naik seorang pelanggan restoran tersebut, di mana kelihatan sesuatu bersalut kuah yang didakwa sebagai kepala tikus.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain