suria

Korek Tabung Haji buat ‘rolling’ modal kerja part time, wanita ini hilang 5 angka dalam seminggu! Tampil dedah modus operandi scammer

Fyqa kerugian ribuan ringgit selepas terjerat perangkap kerja dalam talian menerusi Facebook.

HASRAT seorang wanita yang mahu mencari pendapatan sampingan menerusi kerja bebas (freelance) dalam talian terkubur apabila dia kerugian ribuan ringgit, baru-baru ini.

Menurut Fyqa Zainol, 28, dia ditugaskan untuk menempah bilik hotel dan perlu membayar sejumlah wang sebelum amaun itu dikembalikan semula beserta komisen.

Indah pada permulaan, namun semuanya bertukar mimpi ngeri apabila dia ditugaskan untuk menempah bilik hotel mahal sehingga terpaksa 'mengemis' untuk mendapatkan semula wang miliknya.

"Aku baru balik dari balai polis dan bank untuk lapor kebodohan aku. Tak payah kecam-kecam, ini memang bodoh aku. Bodoh aku ialah aku join part time job," ujarnya menerusi video di TikTok.

fyqa6

Fyqa membuat laporan polis pada Ahad lalu.

Ketika dihubungi mStar, Fyqa menjelaskan bahawa dia mendapat tahu tentang pekerjaan itu menerusi Facebook sebelum memulakan tugas pertama pada minggu lalu.

"Saya jumpa dekat Facebook, dia kata part time job. Kerjanya macam online business. Kena keluar modal dulu untuk book hotel. Dia dakwa nak naikkan ranking hotel, untuk nampak macam ramai orang book. Jadi kita kena book, transfer duit dan mereka akan kembalikan duit itu dengan bayaran ekstra (komisen).

"Harga task pertama RM80, harga task kedua pula RM200. Saya buat task pertama dan kedua, dapat duit balik. Kemudian dia cakap kalau buat task ketiga, akan dapat RM168. Masuk task ketiga rupanya ada hidden instruction," katanya kepada mStar.

Ujar Fyqa, tugasan seterusnya semakin rumit dan jumlah yang diminta juga semakin besar berbanding sebelumnya.

"Ada dua booking perlu dibuat dalam task ketiga. Harga task ketiga RM2,000. Saya kata tak mampu. Saya beritahu hanya mampu jika harga RM500 ke bawah saja.

Saya setiap hari terkejut dengan task baharu, sampai lembik lutut. Tapi saya tak berhenti sebab nak dapatkan duit saya balik.

FYQA ZAINOL

"Saya kata saya dah tak mampu untuk hari tu, esok baru boleh transfer. Jadi esoknya saya transfer. Tapi saya kena buat overtime task pula, kena buat order lain untuk dapatkan balik duit saya.

"Pada masa ini saya baru dapat tahu, dalam overtime task pun kena buat dua order," dedahnya panjang lebar.

Selepas menyelesaikan kesemua tugasan itu, Fyqa mendakwa secara tiba-tiba dia dimasukkan ke dalam kumpulan premium yang memerlukan dia menyelesaikan tugasan lain pula sebelum wang miliknya dikembalikan.

Selepas diselesaikan, pihak yang menyediakan tugasan itu meminta Fyqa membayar amaun sebanyak 60 peratus sebagai syarat untuk memulangkan semula keseluruhan wang miliknya yang digunakan dalam tempahan sebelum ini.

"Saya dah sampai overtime task, tiba-tiba mereka ucap tahniah sebab dah masuk group premium. Saya tanya kenapa saya masuk dalam ni? Mereka kata sebab transaksi saya dah sampai ke tahap yang melayakkan untuk masuk ke premium.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit hati dapat kawan ‘scammer’, makan lain-lain tapi dipaksa bayar sama rata! Taktiknya dia bayar dulu, kemudian suruh transfer

ARTIKEL BERKAITAN: Merana duit KWSP lesap! Hasrat cari ‘maid’ sambilan jadi mimpi ngeri, scammer selindung sebalik khidmat kemas rumah

"Jadi kalau nak dapat duit balik, saya kena selesaikan order untuk group premium dulu. Duit daripada overtime task pun belum dikembalikan, tiba-tiba saya kena buat yang ini lagi. Lepas tu mereka submit ke pihak management untuk kembalikan wang saya.

"Management call dan kata tak boleh transfer sekali gus, sebaliknya kena guna dua akaun bank. Mereka juga minta saya bayar 60 peratus untuk dapat semula wang saya. Selepas bayar 60 peratus, rupanya ia untuk akaun pertama saja. Untuk dua akaun bank itu, kiranya semua kena bayar 120 peratus," ujarnya lagi.

Hanya dalam tempoh seminggu Fyqa kehilangan wang simpanan berjumlah mencecah lima angka!

Menurut Fyqa, pada waktu itu dia mula mengesyaki menjadi mangsa penipuan sebelum bertindak membuat laporan polis di Butterworth, Pulau Pinang pada Ahad lalu.

A teller, Rozana Delrosario showing some ringgit note and US dollar note on the story of ringgit up verses US Dollar at Bangsar, Kuala Lumpur. FAIHAN GHANI/The Star.

Fyqa terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri untuk menyelesaikan tugasan berkenaan.

"Semua duit yang saya gunakan adalah wang simpanan sendiri, termasuk dalam akaun Tabung Haji. Akhirnya saya buat laporan polis pada Ahad. Polis kata banyak sangat kes macam ni. Saya trauma sebab dah tak ada duit langsung.

"Saya buat part time job ni bukanlah sebab nak cepat kaya. Awalnya untung dalam RM10, RM20 saja. Tapi saya teruskan task seterusnya sebab terdesak nak dapatkan balik duit yang saya dah bayar untuk booking.

"Saya tak berhenti sebab nak duit balik. Mereka kata settle dulu baru dapat balik duit saya," ujarnya yang menetap di Bertam, Kepala Batas.

Fyqa yang bekerja dalam bahagian sumber manusia turut menerima pelbagai reaksi netizen selepas dia berkongsi kisah malangnya menerusi TikTok.

komen1

Antara komen netizen di TikTok Fyqa.

Lebih mengejutkan, kira-kira 30 individu turut menghubungi Fyqa di TikTok dan memaklumkan mereka turut terjerat dalam perangkap serupa.

Akhir bicara, Fyqa menitipkan pesan buat netizen agar sentiasa berhati-hati dalam mencari kerja secara dalam talian supaya tidak terjerat sepertinya.

"Saya nasihatkan supaya semak dulu nombor akaun sebelum transfer. Lepas tu kalau mencurigakan, boleh hubungi talian 997. Seeloknya elak job macam ni, tak payah buat job yang tak nampak.

"Setiap hari saya terkejut dengan task baharu, sampai lembik lutut. Tapi saya tak berhenti sebab nak dapatkan duit saya balik," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain