suria

Sempoi anak Kedah! Pelajar SMA buka cerita pengalaman dikejar kucing sampai terjatuh, Ustaz Azhar Idrus pun terhibur

Mahdi menerima pujian netizen kerana keyakinan yang dipamerkannya ketika bertemu dengan UAI.

SETIAP kali Ustaz Azhar Idrus (UAI) menyampaikan kuliah agama, para hadirin pastinya tidak melepaskan peluang untuk bertanya pelbagai soalan kepadanya.

Terbaharu, video seorang pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Darussaadah Kedah, yang bertanya tentang kemusykilan agama kepada UAI turut menjadi bualan ramai di media sosial.

Dalam video itu, pelajar berkenaan bangun memperkenalkan dirinya dengan menggunakan mikrofon, sambil diperhatikan UAI dan Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Assalamualaikum ustaz, Datuk Seri... nama saya Mahdi Rabbani, umur saya sekarang ni 15 tahun. Saya sekolah SMA Darussaadah, dekat Titi Besi, Kepala Batas.

03mahdi

UAI bersama Muhammad Sanusi dalam majlis itu.

"Nervous sikit ustaz sebab first time jumpa MB depan-depan ni, nervous sikit la," ujarnya sambil ketawa kerana diusik UAI yang bertanya sekiranya dia mengenali pemimpin politik itu.

Dalam majlis agama pada Karnival Kedah Sejahtera 2023 berlangsung pada Sabtu lalu, UAI juga sempat mengusik jersi pasukan bola sepak Manchester United (MU) yang dipakai oleh remaja berkenaan.

"Beli kat Padang Besar, Perlis... RM45 ja. Kira berbaloi la tu ustaz. Saya sokong Kedah, cuma baju ja (MU). Jersi Kedah tak ada lagi," ujar remaja itu secara bergurau.

Sebelum meneruskan soalannya, remaja berkenaan mengimbas kisah bagaimana dia terjatuh ketika pulang menunaikan solat Asar dari surau asramanya, baru-baru ini.

Sah atau tidak kita yang uzur ni jadi imam untuk solat jemaah, sebab sekarang saya was-was.

MAHDI RABBANI

"Sekarang ni saya sakit lutut, terjatuh atas jalan tar sebab kena ligan (kejar) dengan kucing. Waktu tu lepas sembahyang Asar, saya keluar surau dan nampak kucing dekat belakang.

"Saya buat tak tahu tentang kucing tu. Apabila saya jalan, kucing tu ikut daripada belakang. Kemudian saya lari la.

"Apabila lari, kucing tu ligan! Sampai pagar asrama, waktu nak langkah masuk tiba-tiba tersadung, jatuh. Nasib baik tak patah gigi. Kalau patah kena pakai gigi palsu," seloroh Mahdi lagi.

Sambil disambut dengan gelak ketawa hadirin, Mahdi bertanya kepada UAI sekiranya masih sah untuk dia bertindak mengimamkan solat berjemaah memandangkan keadaannya yang masih uzur.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuah suara, paras rupa sampaikan malu dipuji... pelajar aktif sukan sejak usia 5 tahun tak sangka lubuk rezekinya di media sosial, teringin nak jadi public figure

ARTIKEL BERKAITAN: Murid berebut nak salam, peluk cium cikgu... ada yang ‘cekik manja’ sebab terlebih sayang! Guru kongsi rahsia ‘ngam’ dengan pelajar

"Lutut dah sakit, duduk antara dua sujud tak boleh. Saya kena duduk atas kerusi. Jadi soalan saya, nak pastikanlah sebab sekarang saya was-was sikit.

"Sah atau tidak kita yang uzur ni jadi imam untuk solat jemaah, sebab sekarang saya was-was. Ada orang cakap boleh, ada orang cakap tak boleh," soalnya.

Menjawab kemusykilan itu, UAI berkata tiada masalah untuk Mahdi menjadi imam kerana keuzuran yang dialaminya tidak sama seperti uzur orang perempuan yang datang haid.

"Ada uzur yang boleh, ada uzur yang tak boleh. Kalau sakit kaki, uzur yang boleh.

02mahdi

Mahdi bercerita panjang lebar sebelum bertanya soalan kepada UAI.

"Uzur yang tak boleh jadi imam ialah uzur haid. Nak habaq (beritahu) kepada semua. Kalau setakat pening, sembahyang tak boleh berdiri... boleh, boleh lagi jadi imam. Imam duduk, makmum berdiri, boleh.

"Sah imam sembahyang duduk, makmum sembahyang berdiri, kerana apa duduk? Sebab uzur. Tapi kalau uzur tak boleh baca dengan sempurna, itu tak boleh," jawab UAI lagi.

Hingga kini video soal jawab antara UAI dan pelajar itu meraih lebih 1.1 juta tontonan di TikTok dan turut menerima banyak pujian netizen.

Selain terhibur dengan video itu, netizen memuji keyakinan Mahdi yang berani untuk naik ke pentas dan bertanya soalan kepada penceramah.

uai08

Gaya santai dan bersahaja UAI membuatkan penonton terhibur dalam acara itu.

"Umur 15 tahun fasih bercakap dan super confident. Boleh nampak budak ni bijak dan boleh pergi jauh.

"Cara komunikasi. Budak ni budak pandai. Kognitif yang bijak.

"Tahniah dik, berani bersuara dengan soalan. Best la, berani. You are the best.

"Dia punya cerita sebelum sampai soalan tu punya panjang. Lawak la dik," komen beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain