SEEKOR biri-biri baka Barbados Black Belly meraih populariti luar biasa apabila mengumpul lebih 20,000 peminat dalam tempoh kurang sebulan. Malah, video-video comel memaparkan biri-biri yang dinamakan Abu Barbados itu meraih ratusan ribu tontonan sejak ia diperkenalkan menerusi aplikasi TikTok, baru-baru ini. Menurut pemilik, Suhana Othman, 41, dia sama sekali tidak pernah terfikir untuk membela haiwan itu seperti anak sendiri, namun menganggap 'pertemuan' mereka sebagai takdir yang terindah. Abu selesa tidur bersama anak tunggal Suhana. "Saya tak sangka boleh terjebak. Keluarga saya di Felda Ulu Penggeli, Kluang, Johor memang bela haiwan untuk dijual bagi kenduri aqiqah. Suatu hari saya balik kampung, ada seekor anak biri-biri yang terkapai-kapai selepas kematian ibunya. "Ayah minta saya tolong selamatkan Abu. Saya tinggal di bandar, duduk pula di taman perumahan. Saya kata pada abah, saya tak boleh jaga. Tapi ayah kata, tolong bagi susu je. Masa tu sayu tengok Abu tiada ibu, siapa yang nak susukan? "Selepas bincang dengan suami dan anak, kami setuju untuk bawa Abu balik. Tak apalah, kami sama-sama ambil tanggungjawab. Bawa dia balik dulu. Macam mana nak buat, itu fikir kemudian. Saya baru je ambil Abu, umurnya pun tak sampai sebulan lagi," ujarnya kepada mStar. Setiap malam ada appointment, orang nak datang jumpa Abu. Ramai yang tengok dari TikTok. SUHANA OTHMAN Menurut Suhana, dia menjaga Abu seperti seorang bayi biarpun agak kekok kerana sudah 13 tahun tidak menguruskan anak kecil. Malah, rutin hidupnya juga mula berubah apabila dia perlu bangun pada waktu malam untuk memberi susu dan menukar lampin biri-biri tersebut. "Hari pertama Abu datang ke rumah, kami pakaikan lampin pakai buang macam bayi. Saya pun banyak belajar dengan Abu. Saya hanya ada anak tunggal, anak pun dah berumur 13 tahun. ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu manja dengan tuan buat kambing ini ‘lupa diri’! Haiwan peliharaan lain tinggal di rumah tapi Gegirl diangkut ke mana saja ARTIKEL BERKAITAN: [V] Masa sakit anak pernah ‘minta dukung’, bapa tunai jua permintaan ketika masuk liang lahad! Sempat ‘curi’, makan kambing sebelum ajal "Suasana hidup kami dah berubah, seolah-olah ada bayi. Cuma yang ini baby empat kaki. Kita bangun malam buat susu, tukar Pampers jam 3 pagi. "Yang menariknya, Abu tak mahu ditinggalkan. Jadi, Abu akan tidur dalam bilik anak saya. Kalau tinggalkan di ruang tamu, Abu akan cari seseorang untuk temankannya," ujar Suhana lagi. Bercerita lanjut, Suhana berkata dia yakin ada hikmah di sebalik amanah itu dan menganggap Abu sebagai satu rezeki buat keluarganya. Kehadiran Abu menjadi penyeri dalam keluarga ini. "Hadirnya Abu ni saya tak tahu apa hikmahnya. Tapi saya fikir, Allah pilih kami untuk jaga Abu, pasti ada hikmahnya. Alhamdulillah sejak ada Abu, keluarga kami lebih ceria. "Sekarang semua benda buat sama-sama. Kami jadi lebih gembira. Abu pula seekor haiwan yang periang," ujar Suhana yang mempunyai 10 tahun pengalaman sebagai pengeluar produk makanan berasaskan durian crepe. Dalam pada itu, Suhana berkata dia tidak menyangka video Abu yang dikongsi menerusi TikTok akan meraih perhatian ramai. Suhana sudah 10 tahun mengeluarkan produk makanan berasaskan durian crepe. Malah, ada individu turut menghubungi Suhana untuk berkunjung ke rumahnya dan berjumpa dengan Abu. "Ini pengalaman pertama saya. Jadi saya hasilkan video untuk abadikan sebagai kenangan. Saya minta anak buat akaun TikTok untuk Abu, khas untuk Abu. Kami sendiri tak sangka video Abu akan viral. "Jiran yang tak pernah lepak pun datang lepak sekarang sejak ada Abu. Setiap malam ada appointment, orang nak datang jumpa Abu. Ramai yang tengok dari TikTok. Yang duduk di taman-taman berhampiran pun kenal Abu," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube