suria

Comel sangat lari-lari sambil picit ‘remote’ cari hadiah, bapa sebak anak-anak kumpul duit beli Hyundai Accent... “Cantik sangat kereta ni”

Reaksi spontan si bapa tatkala menerima hadiah berupa sebuah kereta daripada anak-anaknya.

SUDAH menjadi resam seorang bapa untuk tidak akan membebankan anak-anaknya, jika diberi pilihan.

Sebolehnya segala kesulitan dipendam sendiri agar masalah yang dihadapi tidak merunsingkan mereka.

Namun bagi anak-anak pula, membahagiakan ibu bapa tentunya menjadi keutamaan selagi berkesempatan seperti dilakukan adik-beradik ini.

Mereka menghadiahkan bapa sebuah kereta dengan cara yang tidak disangka-sangka demi memudahkan urusan orang tuanya yang banyak berbakti.

Melalui satu video tular di TikTok, Ridhwan Amin, 28, atau lebih mesra disapa sebagai Joy membuat kejutan apabila dia mempersembahkan kepada bapanya, Rodi, 66, sebuah kereta terpakai yang baharu dibeli.

Bercerita kepada mStar, Joy berkata dia dan adik-beradiknya yang lain bersepakat untuk sama-sama menyumbang dana bagi menjayakan rancangan itu memandangkan kereta lama kepunyaan bapa mereka sudah rosak.

"Sebelum ni ayah bawa Produa Kelisa tapi asyik rosak. Dia dah tak larat nak jaga, jadi jual murah dekat bengkel.

"Saya dan adik-beradik rasa kesian apabila tengok ayah dengan mak pergi hospital atau masjid naik motosikal, bahaya pun satu hal, lepas tu kena redah hujan panas lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anak kirim hadiah, mak ayah kelu perancang kejutan terbangkan belon dengan wang... ada rezeki lain dapat RM2,500

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih je nak hadiah apa, semua akan dibeli! Anak bujang buat kejutan ikut trend, dapat bonus terus balik kampung belanja mak

"Jadi kami semua setuju kumpul dana beli kereta baharu untuk ayah. Kami set tarikh awal tahun hari tu untuk masukkan dana.

"Kami adik-beradik semua termasuk saya ada empat orang yang hulur duit untuk realisasikan rancangan ini," kata Joy yang bekerja sebagai juruvideo secara bebas.

Joy memberitahu dia dan adik-beradiknya membuat pemilihan kereta yang bersesuaian dengan keperluan ayah mereka serta dalam lingkungan bajet yang tersedia.

Masing-masing terharu sebab jarang nak nampak ayah emotional macam tu.

RIDHWAN AMIN

"Kami ukur baju di badan sendiri, dana yang kami bagi setiap seorang pun tak banyak mana. Kami buat satu grup WhatsApp berasingan yang tak ada mak ayah untuk kami bincang rancangan ini.

"Kami cari kereta merata tempat dalam internet, kalau ada yang menarik kami akan hantar link ke dalam grup WhatsApp tu.

"Kami mahukan kereta yang terbaik untuk mak ayah, tak banyak maintenance, dan pada masa yang sama kena dengan bajet kami.

Bapa dan ibu Joy bergambar bersama kereta yang baru dihadiahkan kepadanya.

"Akhirnya kami setuju dengan satu kereta ni, Hyundai Accent. Abang pergi tengok dekat kedai dan kami semua pun setuju untuk terus beli," ujar Joy.

Joy menceritakan selepas kereta itu sah menjadi milik mereka, abangnya membawa kereta tersebut ke bengkel untuk membuat pemeriksaan lanjut.

"Kami ada empat orang, tiga orang bagi duit untuk beli kereta tu dan lagi seorang iaitu abang kami yang keempat akan handle servis kereta tu, tukar tayar atau komponen dalam enjin kereta.

"Kami dah beli kereta tu dua minggu lebih awal tapi semua sibuk. Mula-mula plan nak ramai-ramai pergi buat surprise dekat ayah. Apabila dah lama sangat, saya jadi wakil adik-beradik lain untuk buat surprise kepada ayah.

Joy mengatakan hubungan kekeluargaan mereka adalah sangat akrab. (Joy, pertama dari kanan)

"Sebab kalau biar lama sangat kesian pula dekat ayah, tak ada kenderaan nak pergi hospital. Mak ayah setiap bulan memang ada appointment check-up, kena pergi sana," kata Joy.

Joy dan isterinya kemudiannya membuat percaturan untuk proses penyerahan kereta itu kepada bapanya dan ibunya, Rohana Saad, 62.

"Saya pergi ambil kereta tu dekat rumah abang dulu. Saya duduk Ampang, Kuala Lumpur dan ayah duduk Bukit Beruntung, Hulu Selangor. Isteri bawa kereta kami dan saya bawa kereta ayah.

"Saya call ayah dulu suruh datang ke Kentucky Fried Chicken (KFC) dekat depan rumah kami tu, beritahu dia nak makan tengah hari sekali sebab dah lama tak jumpa.

"Jadi ayah pun datang dengan mak naik motosikal," ujar Joy tidak sabar untuk memberikan kejutan kepada ayahnya.

Keluarga besar Joy bergambar bersama bapa mereka.

Joy mengatakan babak yang menyusul seterusnya membuatkan dia sekeluarga berlinangan air mata.

"Lepas makan tu, macam dalam video tu la... saya bagi ayah saya kunci kereta untuk dia cari sendiri hadiah dia. Isteri saya tolong rakam supaya adik-beradik yang tak dapat hadir boleh tengok sekali momen ni.

"Apabila dia jumpa kereta tu, tak sangka dia terus peluk saya dan menangis. Kalau nak tahu, ayah saya ni bukan jenis orang yang senang menangis, dia selalunya happy-go-lucky dan gelak sana sini.

"Sekali terkeluar air mata dia, terkejut saya. Nasib baik saya ni keras sikit, steady dan masih boleh control macho. Tapi apabila kami hantar video tu dalam grup WhatsApp keluarga, boleh dikatakan hampir semua sebak.

"Masing-masing terharu sebab jarang nak nampak ayah emotional macam tu. Yang paling tak tahan, anak buah saya umur lima tahun pun ikut menangis sekali. Ini kenangan berharga untuk saya dan keluarga," ujar Joy bersyukur.

Joy berkata segalanya berjalan seperti yang dirancang dan dia kini lega ayahnya mempunyai kenderaan sendiri untuk menjalani urusan harian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain