"SEBELUM ini hanya baca kisah macam ni, tapi bila berlaku dekat ahli keluarga sendiri, memang tak boleh nak diterima." Demikian kata seorang ahli keluarga kepada sepasang suami isteri yang cedera parah selepas menjadi mangsa langgar lari. Memperincikan semula kemalangan yang menimpa adik ipar dan birasnya pada pagi Jumaat berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, Muhammad Helmi, 38, berkata pasangan itu sedang dalam perjalanan menuju ke tempat kerja sebelum dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna putih. Namun malangnya, pemandu tidak memberhentikan kenderaan malah melarikan diri meninggalkan pasangan berkenaan bergelimpangan di atas jalan raya. Akibat perlanggaran tersebut, Muhammad Helmi berkata adik iparnya, Nur Afiqah Sukardi, 35, patah lengan kiri dan tulang pelvis termasuk luka pada beberapa bahagian muka dan badan. Sementara itu birasnya, Mohd Fauzan Baseri, 35, patah bahu kiri dan cedera teruk di kaki, lutut dan tangan. Lokasi kemalangan yang berlaku berhampiran Plaza Tol Jalan Duta. "Buat masa ini adik ipar, Nur Afiqah yang kini dirawat di Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur berada dalam keadaan stabil. Dia akan menjalani pembedahan pada lengan kiri pada pagi Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan buat orang risau” - Berkali-kali isteri hantar mesej tapi tak berjawab... suami ‘hilang’ 2 hari rupanya maut kemalangan ARTIKEL BERKAITAN: Wanita menangis dimaklumkan suami kemalangan, sukar percaya ada seorang manusia baik sanggup bantu dari A-Z tanpa diminta "Sekitar tiga atau empat hari kemudian, doktor akan lakukan x-ray untuk tengok keadaan tulang pelvisnya. Pembedahan akan dilakukan bergantung kepada keputusan x-ray. "Biras saya pun sudah menerima rawatan. Alhamdulillah dia sudah dibenarkan pulang dan kini sedang berehat dekat rumah. "Kasihan anak mereka yang sulung berusia lapan tahun kerana sering menangis sebab bimbang apa-apa terjadi kepada mama dan papanya. Anak kedua mereka berusia lima tahun masih belum mengerti sangat apa yang berlaku," kongsinya kepada mStar mengenai perkembangan terbaharu kedua-dua ahli keluarganya itu. Mujur mereka masih panjang umur. Bayangkan kalau nasib tak baik, ada yang langgar ketika mereka terjatuh macam mana? MUHAMMAD HELMI AHLI KELUARGA Terdahulu, Muhammad Helmi membuat hebahan di laman sosial meminta bantuan mana-mana pihak yang mempunyai rakaman video papan pemuka (dashcam) atau menyaksikan kemalangan berkenaan untuk tampil memberikan kerjasama. Bagaimanapun Muhammad Helmi berkata, setakat malam Sabtu, masih belum ada petunjuk positif mengenai kejadian tersebut. "Cuma adik ipar saya cakap, ada orang beritahunya dia ada rakaman kemalangan tapi keretanya masuk bengkel sehingga Isnin ini. Jadi kena tunggu. Keluarga kami harap itu rakaman kejadian yang kami maksudkan," katanya lagi. Hebahan yang dibuat Muhammad Helmi di Facebook. Berkongsi lebih lanjut, Muhammad Helmi turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap pemandu kenderaan terlibat kerana enggan bertanggungjawab atas kemalangan yang menimpa dua ahli keluarganya. "Bukan apa, kami kecewa sebab masih ada orang macam ni yang tak nak bertanggungjawab. Mujur mereka masih panjang umur. Bayangkan kalau nasib tak baik, ada yang langgar ketika mereka terjatuh macam mana? "Biras saya sangat berhemah... jenis berhati-hati sejak dari dulu saya kenal dia. Bila jadi macam ni, dia sendiri fobia. Sepanjang ulang alik Gombak ke Shah Alam, ini kali pertama mereka accident teruk. "Saya minta satu saja, minta tolong sangat kepada sesiapa yang ada video dashcam, tolong share dekat kami," rayunya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube