suria

Pelik berjaya turun berat badan tapi perut buncit, tahu-tahu hamil 5 bulan! Pasangan bakal timang bayi selepas 9 tahun kahwin

Kejutan sempena ulang tahun perkahwinan ke-9.

PENANTIAN hampir sedekad bukan tempoh singkat untuk pasangan suami isteri yang mengimpikan menimang cahaya mata sulung.

Sepanjang tempoh itu, rumah tentunya sunyi tanpa riuh-rendah suara anak-anak.

Namun bagi pasangan ini, fasa tersebut dilalui dengan reda sehinggalah usia perkahwinan mereka memasuki tahun kesembilan.

Berkongsi cerita kepada mStar, Julizah Jaafar berkata, dia dan suami mendirikan rumah tangga pada 14 Mac 2014, sembilan tahun lalu.

Wanita berusia 34 tahun itu tetap bersyukur dengan kehidupannya meskipun tidak dikurniakan cahaya mata kerana dikurniakan rezeki lain.

"Bertahun-tahun kami cuba pelbagai cara (untuk hamil), memang berharap tapi belum ada rezeki. Sampai la ke tahun keenam perkahwinan, saya move on.

"Walaupun ketika itu belum ada rezeki anak, Allah beri rezeki lain seperti ada rumah sendiri. Ada tempat berteduh, hanya menantikan orang baharu (anak)," katanya kepada mStar.

Julizah berjaya menurunkan berat dari 70kg (kiri) kepada 60kg (kanan).

Bukan berputus asa, Julizah yang berasal dari Telok Mas, Melaka menjelaskan bahawa dia dan suami pada waktu itu tidak mahu terus berharap dan mahu menjalani kehidupan seperti biasa.

Menurutnya, antara yang dilakukannya adalah misi mengurangkan berat badannya yang sebelum ini berisi iaitu 70 kilogram (kg) kepada 60kg.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu stres fikir zuriat, pasangan ini 'layan' honeymoon 5 tahun! Hebat aturan Allah, pasport tamat tempoh terus buka buku pink

ARTIKEL BERKAITAN: Penantian hamil anak kedua berakhir selepas 16 tahun! Suami gembira tengok kit kehamilan, tapi anak sulung 'mogok' nak dapat adik

"Badan saya sebelum ini berisi, jadi saya cut pengambilan gula dan berjaya turunkan kepada 60kg selepas setahun. Nampaklah badan semakin mengecil.

"Tapi bulan lepas, perut saya kembung macam buncit. Pelik juga sebab tak gemuk, tapi perut ke depan sampai kawan-kawan tegur," katanya.

Tanda kehamilan yang menjadi berita gembira buat pasangan ini.

Susulan itu, pekerja di sebuah kedai serbaneka ini kemudian 'kembali' melakukan ujian kehamilan meskipun tidak mengalami sebarang simptom hamil.

"Kakak minta saya buat ujian (kehamilan), dia kata tak ada rezeki tak apa, yang penting cuba. Apabila saya positif (hamil), perasaan saya sebak dan gembira sebab sembilan tahun tanpa zuriat sampai tak mengharap.

Selagi ada rahim, selagi itu kita mampu untuk mendapatkan cahaya mata.

JULIZAH JAAFAR

"Esoknya datang periksa di klinik, doktor beritahu usia kandungan dah 22 minggu (lima bulan). Saya memang terkejut, tahu-tahu mengandung, Alhamdulillah," katanya dengan nada teruja.

Julizah yang dijangka bersalin pada pertengahan Jun depan berkata, hadiah ulang tahun perkahwinannya kali ini amat bermakna kerana dianugerahkan zuriat.

Julizah dan suami mendirikan rumah tangga sejak 2014.

Merasai kegembiraan berganda, wanita ini turut berkongsi nasihat kepada pasangan yang sedang berusaha untuk mendapatkan zuriat atau 'trying to conceive' (TTC).

"Kena banyak bersabar, jangan stres dan jangan terlalu fikir. Orang luar boleh beri pelbagai pendapat, tapi kita sendiri kena mengikut apa yang mampu.

"Selagi ada rahim, selagi itu kita mampu untuk mendapatkan cahaya mata. InsyaAllah, suatu hari nanti kita rasa momen itu... seperti yang saya alami sekarang," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain