suria

Makcik kantin ‘next level’, melaram naik pentas perkenalkan diri... Cikgu pula cuak, risau murid keliru - “Takut bertukar, semua gorgeous”

Pekerja kantin di Sekolah Kebangsaan Dato' Yahya Subban turut naik ke pentas memperkenalkan diri pada hari pertama sesi persekolahan.

JIKA ditelusuri di media sosial, pelbagai perkongsian mengenai ragam pelajar dipaparkan sejak sesi penggal persekolahan baru dibuka, Isnin lalu.

Masih lagi berkisarkan mood minggu pertama sesi baharu, satu perkongsian yang dimuat naik seorang guru baru-baru ini meraih perhatian warga maya.

Namun video yang dikongsikannya bukanlah mengenai ragam pelajar, sebaliknya ia memaparkan aksi comel dan sporting para pekerja kantin sekolah ketika memperkenalkan diri masing-masing di hadapan para pelajar.

Menerusi video berdurasi 15 saat itu, kelihatan tujuh pekerja kantin tampil berpakaian serba sedondon sambil memegang plakad bertulis nama masing-masing.

"Minggu ini ice-breaking, makcik kantin pun murid kena kenal... takut bertukar dengan cikgu. Semua gojes-gojes (gorgeous)," demikian kapsyen yang mengiringi video berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Murid nak masuk sekolah, cikgu ‘angkut’ sekeluarga tolong hias kelas... selesai sudah masalah 32 meja comot!

ARTIKEL BERKAITAN: Alamak, dah habis hati-hati tapi kantoi juga! Ibu buka cerita kenapa anak lari panjat pagar sekolah - “Macam-macam hal la anak dara aku”

Berkongsi cerita dengan mStar, guru bernama Nor Zilina Zali yang membuat rakaman dan memuat naik di aplikasi TikTok berkata, video tersebut dirakam pada Isnin lalu ketika majlis suai kenal warga sekolah di perhimpunan rasmi.

"Untuk minggu pertama sesi persekolahan baru, masih belum ada Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan menurut pekeliling, setiap sekolah dikehendaki membuat aktiviti antaranya suai kenal warga sekolah.

KANTIN 3

Sebahagian guru yang menjadi tulang belakang ketika majlis sesi 'ice-breaking' baru-baru ini.

"Jadi pada Isnin lalu, sekolah kami iaitu Sekolah Kebangsaan Dato' Yahya Subban, Chenderong Balai, Perak membuat sesi suai kenal atau ice-breaking semua warga sekolah ketika perhimpunan rasmi.

"Semua warga sekolah bermula daripada guru besar, pentadbir, guru sehinggalah kepada pekerja kantin dan pekerja am perlu memperkenalkan diri... semua naik stage dan bawa plakad bertulis nama masing-masing untuk memperkenalkan diri kepada murid-murid," ujarnya kepada mStar.

Menurut Nor Zilina, terdapat kumpulan guru yang ditugaskan untuk membuat plakad bagi setiap warga sekolah sempena acara ice-breaking tersebut.

"Apabila ada acara sebegini, kami akan bahagikan tugas sesama guru. Kami ada kumpulan guru yang bertugas dan dibahagikan secara mingguan.

KANTIN 2

AJK PIBG dan pentadbir Sekolah Kebangsaan Dato' Yahya Subban bersama Guru Besar, Hj Muhammad Halili Mohd Isa (tiga, kiri).

"Plakad ini adalah hasil usaha guru yang bertugas untuk minggu suai kenal," ujar guru berusia 44 tahun ini.

Tambahnya, pada hari tersebut, seramai 54 guru dan pekerja am sekolah naik ke atas pentas membawa plakad ibarat melakukan cat walk, malah kesemuanya begitu sporting, ceria dan bersemangat menjayakan acara tersebut.

"Saya sempat ambil video ketika pekerja kantin memperkenalkan diri atas stage. Selepas pulang sekolah pada sebelah petang, barulah saya upload.

"Tak sangka, esoknya video tersebut meraih jumlah tontonan yang tinggi sehingga mencecah ratusan ribu.

Semua sporting dan akrab... pendek kata kami warga sekolah ibarat satu keluarga.

NOR ZILINA ZALI

GURU

"Kalau nak tahu, pekerja kantin sekolah kami memang rapat dengan guru-guru. Mereka sporting untuk join apa jua aktiviti sekolah.

"Contohnya sewaktu Hari Kanak-kanak Sedunia, sekolah letak tema Mickey Mouse... mereka pun ikut sekali tema itu. Lagi pula, anak-anak mereka pun sekolah di sini, jadi memang hubungan kami akrab.

"Begitu juga dengan pekerja am yang lain... pendek kata kami warga sekolah ibarat satu keluarga," ujarnya yang sudah berkhidmat di sekolah berkenaan sejak 2018.

KANTIN 1

Pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan turut memperkenalkan diri masing-masing.

Tidak menyangka videonya meraih sehingga melebihi 740,000 jumlah tontonan, Nor Zilina berkata dia gembira dan bersyukur kerana perkongsiannya mendapat maklum balas yang sangat positif daripada warga maya.

"Syukur tak terhingga... gembira apabila ramai yang beri komen positif dan memuji sekolah kami. Mudahan sedikit sebanyak ia memberi manfaat kepada orang lain juga," akhirinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain