suria

‘Anak mak’ jatuh air mata saat jejak Universiti Oxford, dulu mohon tak dapat - “Saya dahulukan kebajikan mak ayah”

Khairi dijemput membentangkan kajiannya di Universiti Oxford, baru-baru ini.

IMPIAN jadi realiti.

Begitulah kisahnya Khairi Azhar Aziz, penuntut Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Oxford di London, baru-baru ini.

Bercerita kepada mStar, Khairi berkata dia dijemput ke sana bagi membentangkan kertas kajiannya bersama penyelidik lain dari seluruh dunia.

khairi2

Khairi teruja dapat menjejakkan kaki ke Universiti Oxford.

"Saya kini mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sistem Maklumat. Fakulti hantar kertas kajian saya ke Universiti Oxford, mungkin rezeki saya dipilih sebab topik saya agak menarik untuk dikongsi dengan penyelidik dan peserta di sana.

"Saya dapat tahu tentang hal ini pada 16 Januari. Beberapa hari kemudian, dapat surat dari Oxford. Masa tu, terus menangis seorang diri. Sebabnya saya dah lama simpan impian ke sana. Pernah mohon untuk masuk dulu tapi tak dapat.

"Saya pergi ke sana 10 hari dan kembali ke Malaysia pada 21 Mac. Tak jangka saya dapat ke sana untuk bentangkan kajian. Mak saya pun menangis masa dapat tahu saya terpilih untuk ke sana," ujarnya.

Memang betul, Allah dengar doa saya. Masa saya masuk dalam Oxford tu, rasa mengalir air mata ketika pertama kali jejak kaki.

KHAIRI AZHAR AZIZ

Bercerita mengenai kunjungannya, Khairi berkata dia sekali lagi mengalirkan air mata saat pertama kali menjejakkan kaki ke kampus universiti itu, sekali gus menandakan impian zaman remajanya telah menjadi realiti.

"Memang betul, Allah dengar doa saya. Masa saya masuk dalam Oxford tu, rasa mengalir air mata ketika pertama kali jejak kaki. Yang keduanya, saya dapat bertemu dengan ramai orang hebat di sana. Ketika persidangan itu, ada profesor, ahli akademik, orang industri dan ramai lagi.

"Sejujurnya memang rasa diri ini kerdil dan gementar. Tapi bila sampai giliran saya untuk membentangkan kajian, saya jadi berani dan terus hilang rasa gugup. Dalam setengah jam juga saya buat pembentangan, disusuli dengan sesi soal jawab," kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Result ‘gempak’, kerja bagus! Bekas pelajar UiTM berjaya dan bergaya selepas dihina sahabat - “Dia malu saya pakai macam pendatang asing”

ARTIKEL BERKAITAN: Geng pelajar ‘otak bisnes’ ulang kejayaan zaman matrikulasi, masuk UiTM terus raih jualan RM130,000... baju dijual laku keras

Menurut anak jati Langkawi, Kedah itu, dia turut melihat pencapaian berkenaan sebagai hasil doa tidak putus-putus daripada kedua ibu bapanya yang kini sudah berusia 70-an.

Tambah Khairi yang meraih keputusan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 4.0 pada setiap semester, dia sentiasa mendahulukan orang tua kerana menganggap keredaan mereka sebagai kunci utama untuk berjaya.

"Sebagai orang Islam, kita kena sentiasa berdoa, selalu berusaha dan tidak berputus asa. Saya sentiasa berazam, apa saja yang saya buat, saya mesti dapat dengan usaha sendiri.

khairi3

Keberkatan kedua ibu bapa menjadi kunci kejayaan Khairi.

"Tapi paling utama, kena jaga kebajikan ibu ayah. Dahulukan mereka. Sebarang berita gembira yang saya dapat, ibu akan jadi orang pertama yang tahu. Saya percaya bahawa reda Allah itu datang melalui reda mak ayah kita," ujarnya yang turut bekerja di ibu negara sambil mengikuti pengajian di UPM.

Dalam pada itu, video perjalanan Khairi ke Universiti Oxford yang dikongsi menerusi aplikasi TikTok turut meraih perhatian ramai sehingga dia dihujani dengan komen positif netizen.

Kata Khairi, dia tidak menyangka akan menerima reaksi sedemikian, namun berharap video yang dikongsi dapat memberi inspirasi kepada masyarakat agar tidak pernah berhenti berusaha mengejar impian masing-masing.

khairi2

Khairi berasal dari Langkawi dan kini sedang mengikuti pengajian di UPM.

"Sebenarnya saya memang terkejut. Niat saya kongsi video sebab nak kongsi ilmu dengan semua orang. Pada masa sama, saya juga nak kongsi inspirasi.

"Contoh terdekat, ada beberapa kawan sekerja saya sekarang dah sambung master sebab mereka seronok tengok saya belajar sambil bekerja," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain