suria

Bisnes asam pedas tak laku, suami isteri terdesak nak jual Kancil... Jalan akhir sara 5 anak kecil - “Kami lebih risau hilang tempat tinggal”

Keluarga lima beranak ini mahu menjual kereta kancil terpakai mereka untuk menyelesaikan hutang.

SAYU hati tatkala mengenangkan nasib keluarga ini yang sanggup melakukan apa saja demi meneruskan kelangsungan hidup.

Paling menyedihkan apabila sebuah Perodua Kancil usang milik mereka terpaksa dijadikan ikhtiar terakhir bagi sepasang suami isteri ini untuk menyelamatkan tempat tinggal mereka.

Bercakap kepada mStar, isteri berkenaan, Safiyah Abdullah berkata, kereta Kancil terpakai itu dibeli pada 2021 untuk kegunaan berniaga dan menghantar anak-anak ke sekolah.

Walaupun berat hati untuk melepaskan kereta yang sangat membantu dalam mencari rezeki, namun wanita berusia 30 tahun ini bersama suaminya terpaksa melepaskannya.

"Bayaran rumah sewa sebanyak RM400 sebulan sudah tertunggak tiga bulan. Itu belum lagi nak menampung makan minum kami sekeluarga.

"Saya dan suami berniaga asam pedas tetal sejak 1 Ramadan lalu, tapi tak balik modal. Ada hari hanya terjual sebungkus RM5," katanya kepada mStar.

Safiyah dikurniakan lima cahaya mata.

Hanya bertahan selama enam hari, Safiyah terpaksa akur bisnes berkenaan lebih mendatangkan kerugian sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.

"Sebelum ni okay, tapi masuk bulan puasa bisnes makin 'sakit'. Mungkin antara sebab adalah gerai kami di Duyong Bestari, Melaka terlalu dekat dengan bazar Ramadan, jadi orang ramai lebih tertumpu ke sana membeli juadah.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini sangat terdesak! Jual baju sendiri, isteri dan anak demi teruskan hidup... bimbang fikir kelahiran bayi kedua - "Pernah nak call hotline luah perasaan"

ARTIKEL BERKAITAN: 'Jalan terus' walau mata tak nampak! Pasangan OKU hilang kerja tetap raih RM12,000 seminggu jual sambal hitam - "Mula berniaga cuma terjual satu, dua pek"

"Kami pula tak mampu nak sewa tapak bazar. Jadi berniaga apa yang boleh, tapi kami struggle nak bayar tunggakan sewa rumah dan tanggung anak-anak.

"Itu sebab kami buat video di TikTok untuk cuba jual kereta kancil tu pada harga RM3,000," ujarnya yang dikurniakan lima cahaya mata dan tiga daripadanya sudah bersekolah.

Adun Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem (baju merah) bersama JKM dan Maim melawat keluarga Safiyah.

Selain masalah tunggakan sewa rumah dan sara hidup keluarga, dia yang menetap di Melaka Tengah, Melaka itu juga perlu menanggung kos penjagaan anak bongsunya yang berusia dua tahun kerana menghidap laryngomalacia yang berkaitan dengan masalah saluran pernafasan.

"Kami lebih risau hilang tempat tinggal. Kat mana kami sekeluarga nanti? Itu belum lagi lagi kos ulang-alik bawa anak ke hospital setiap minggu selain cari duit untuk baiki seandainya kereta tu rosak lagi.

"Bukan tak pernah terfikir nak mohon bantuan zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tapi kami rasa masih mampu berusaha dan berikhtiar sedaya-upaya.

"Bantuan kewangan tu seeloknya untuk mereka yang lebih susah, fakir miskin. Buat apa ambil hak orang, jadi kami ikhtiar dengan jual kereta untuk selesaikan segala hutang yang ada," ujarnya lagi.

Safiyah dan suami mencuba nasib menjual nasi ayam goreng kunyit.

Kisah Safiyah yang tular di media sosial mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang kemudiannya segera membuat lawatan bersama JKM dan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) ke rumah keluarga tersebut, pada Isnin lalu.

"Hasil perbincangan Safiyah tak pernah mohon JKM dan Maim untuk bantuan yang berkala. Kita tunggu Safiyah lengkapkan borang untuk hantar kepada JKM dan Maim.

Bukan tak pernah terfikir nak mohon bantuan zakat atau JKM, tapi kami rasa masih mampu berusaha dan berikhtiar.

SAFIYAH ABDULLAH

"Untuk rekod juga, Maim sebenarnya banyak kali dah bantu Safiyah dalam bentuk one-off (sekali) yang mana dia datang apabila mengadu masalah dan Maim bantu secara tunai.

"Jadi, untuk langkah seterusnya kita perlukan dokumen-dokumen daripada Safiyah untuk kita bantu dari segi bantuan lain.

Dokumen tu pun telah diminimumkan untuk agar dapat bantu Safiyah dengan segera," katanya menerusi video di akaun Tiktok beliau @mnhelmy, sambil menambah sumbangan wang tunai dan makanan turut diberikan dalam lawatan ke rumah Safiyah.

Safiyah menyediakan infaq Ramadan menerusi jualan nasi ayam goreng kunyit.

Mengenai cadangan Adun Duyong, JKM dan Maim, Safiyah akhirnya akur dan segera mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan secara berkala pada masa akan datang.

Pada masa sama, dia dan suami tidak menyangka kisah mereka mendapat perhatian ramai di media sosial.

"Alhamdulillah syukur. Kami juga mencuba nasib, kembali berniaga nasi goreng ayam kunyit dengan menu rahmah berharga RM5 sebungkus.

"Buat masa ini, kami buka tempahan dan kebanyakan pelanggan melakukannya untuk infaq Ramadan, sama ada disumbangkan ke masjid, rumah anak-anak yatim atau orang awam.

"Jika ada permintaan, kami akan menjual di gerai seperti biasa. Terima kasih kerana ramai yang prihatin dan teruskan mendoakan kami," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain