KECERIAAN jelas tergambar di wajah wanita ini, namun sebelum ini tiada siapa yang tahu apa yang terbuku dalam isi hatinya. Namun menerusi satu video yang tular di media sosial, dapat dilihat deritanya memendam rasa selama lebih enam tahun akhirnya terubat. Seorang ibu gembira bercampur sayu apabila dikejutkan dengan kepulangan anak lelakinya yang 'terpisah' selama bertahun-tahun. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Bercakap kepada mStar, anak lelaki berkenaan, Mohamad Nurhafiz Bahari berkata, dia mengambil keputusan besar untuk bekerja di Australia enam tahun lalu selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Walaupun pada mulanya ibunya berat hati untuk melepaskannya, namun niat pemuda yang berasal dari Yan, Kedah ini mahu mengubah nasib keluarga akhirnya mendapat restu. "Saya dibesarkan dari keluarga sederhana sahaja, mahu ubah nasib famili kepada yang lebih baik selepas SPM. Saya bekerja dalam bidang perladangan. "Niat asal hanya mahu bekerja selama tiga bulan di Australia, tapi ada pelbagai kekangan termasuk beberapa kali penerbangan terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19, menyebabkan tiada rezeki untuk saya balik ke Malaysia," katanya ketika dihubungi. Hafiz (dua, kiri) dan ibu bersama ahli keluarga. Lebih mesra disapa Hafiz, pemuda berusia 24 tahun itu tetap berhubung dengan ibunya di kampung halaman walau hanya menerusi panggilan video. ARTIKEL BERKAITAN: Dua bulan selepas doa depan Kaabah, anak di Australia akhirnya pulang ke pangkuan keluarga! Nampak tahi lalat, ibu terus meraung ARTIKEL BERKAITAN: Hampir 2 tahun ada je halangan, pembantu jurutera di Singapura pulang bawa kejutan... 3 adegan, 3 kali si ibu 'hujan' di restoran "Setiap kali video call, saya dan mak sama-sama menangis. Saya cuba tahan (daripada menangis) depan mak, tapi tak boleh. "Mak juga sentiasa menasihatkan saya ajar jaga diri elok-elok di negara orang dan berjauhan dengan famili. Solat jangan tinggal," ujarnya yang bekerja di Mildura, Victoria. Ibu Hafiz (kanan) bersama sebahagian ahli keluarga yang hadir pada majlis berbuka puasa. Menurut anak bongsu daripada enam beradik itu, masakan ibunya yang kini berusia 70 tahun antara yang paling dirindui sepanjang berada di Australia. "Saya terbayangkan masakan asam pedas pada hari biasa dan ketupat setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri. Ikutkan enam tahun saya beraya di perantauan. Setiap kali video call, saya dan mak sama-sama menangis. MOHAMAD NURHAFIZ BAHARI ANAK "Untuk raya tahun ini, saya beritahu mak hanya akan balik pada bulan Mei. Mak sedih juga sebab masih tak dapat beraya bersama, tapi mak cakap tak apa tak ada rezeki," katanya lagi. Menetap di Kampung Sungai Lintang di Yan, kata Hafiz, ibunya yang mempunyai 11 cucu dan enam cicit sangat dikenali dengan sifat peramah dan mudah mesra. Kerinduan terubat, Hafiz kembali pulang ke pangkuan ibu. "Jadi kepulangan saya pada Isnin lalu saya buat kejutan pada majlis berbuka puasa bersama keluarga yang terdiri daripada kira-kira 60 orang. "Kebetulan ada hari jadi seorang kakak ipar, jadi kami semua dalam mood gembira. Sebab itulah mak pun turut sama teruja tanpa sedar saya ada di belakang untuk buat kejutan. "Mak tak sangka nampak saya depan mata, sampai tak makan nasi masa buka puasa sebab kenyang katanya, terlalu gembira. "Alhamdulillah, akhirnya saya pulang ke kampung jumpa mak dan keluarga. Tak sabar nak makan ketupat dan asam pedas masakan mak raya nanti," katanya dengan nada teruja. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube