DALAM zaman sekarang, jarang sekali kita dapat berjumpa dengan orang yang bersikap jujur. Namun, lain pula ceritanya seorang pemuda dikenali sebagai Mohammad Hafizuddin apabila dia sanggup mengakui kesalahannya melanggar sebuah kereta, baru-baru ini. Bahkan, Hafizuddin turut meninggalkan sepucuk surat kepada pemilik Perodua Axia warna merah itu untuk memberi penjelasan tentang kejadian tersebut yang berlaku secara tidak sengaja. Wang sebanyak RM360 yang diselitkan dalam surat berkenaan. "Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Kepada pemilik Axia. Pertama sekali, saya seikhlas hati memohon maaf kerana melanggar kereta awak di ruangan parkir pada Ahad, 10 April 2023. "Saya mengalami kesukaran untuk keluar dari ruangan parkir yang sempit dan secara tak sengaja terlanggar kereta baharu awak. "Saya tahu ia bukan satu alasan dan saya mengambil tanggungjawab penuh atas tindakan saya. Saya datang hari ini untuk tengok keadaan kereta awak. Saya nampak ia kemek dan catnya juga rosak," tulisnya dalam surat itu. Tolong terima wang ini, harap ia dapat membayar kos baik pulih dan semoga awak berpuas hati dengan bayaran ini. MOHAMMAD HAFIZUDDIN Di sebalik penjelasan panjang lebar, Hafizuddin turut menyelitkan sejumlah wang di dalam sampul surat berkenaan sebagai ganti rugi atas kerosakan yang dilakukannya. "Di sini saya sertakan RM360 untuk awak baiki kereta. Saya harap ia mencukupi. Saya sangat menyesali perkara ini. Harap permohonan maaf saya diterima. "Tolong terima wang ini, harap ia dapat membayar kos baik pulih dan semoga awak berpuas hati dengan bayaran ini. Sekali lagi saya minta maaf. Selamat Hari Raya, maaf zahir batin," ujar Hafizuddin lagi dalam surat yang ditulis secara penuh menggunakan bahasa Inggeris. ARTIKEL BERKAITAN: Asyik cerita tentang kemalangan, tiba-tiba treler rempuh belakang! Audio dashcam cukup mengerikan, tangisan bayi buat ramai cemas ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan ambil walau RM1” - Anak mengadu Volkswagen dilanggar, ibu beremosi fikir nasib penunggang motor nak bayar ganti rugi Surat berkenaan meraih perhatian netizen selepas pemilik Axia dikenali sebagai Wani Rynn berkongsi tentangnya menerusi laman TikTok. Menurut Wani, dia bersyukur apabila individu itu sanggup bertanggungjawab, bahkan turut menyelitkan sejumlah wang untuk dia membaiki keretanya. "Alhamdulillah, jumpa orang yang bertanggungjawab. Semoga dipermudahkan segala urusannya, Amin," ujarnya pada kapsyen video di TikTok. Jelasnya, dia hanya perlu membayar RM250 untuk kos baik pulih keretanya biarpun diberi wang sebanyak RM360 oleh pemuda itu. Netizen memuji sikap jujur pemuda itu. Di ruangan komen, ramai netizen memuji sikap jujur pemuda berkenaan yang dianggap 'rare' pada zaman ini. "Kalau macam ni caranya, kereta kena langgar pun boleh jadi blushing senyum-senyum dalam kereta. "Semoga orang yang tulis nota tu dipermudahkan urusan dan murah rezeki. Sangat jujur. "Power English dia. Syabas Hafizuddin anda bertanggungjawab dan semoga Allah permudahkan urusan owner juga. "Alhamdulillah, orang baik selalu akan jumpa orang yang baik," tulis beberapa netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube